Real Madrid Kini Kelab Bola Sepak Paling Bernilai

LONDON – Real Madrid telah diumumkan sebagai kelab bola sepak paling bernilai dunia selepas berjaya memintas Manchester United.

Kajian tersebut dijalankan oleh Brand Finance iaitu sebuah badan konsultasi kewangan bebas yang menyatakan kelab dari Sepanyol itu dianggarkan bernilai €1.65 billion.

United yang merupakan kelab paling bernilai pada tahun sebelumnya pula kini berada di tangga kedua dengan nilai €1.472 billion.

Sebanyak 50 buah kelab dinilai berdasarkan keuntungan dan juga kejayaan setiap kelab berdasarkan prestasi yang dipamerkan di atas padang.

Enam kelab teratas di dalam senarai Brand Finance sebenarnya sudah cukup untuk menyumbang 40 peratus daripada nilai keseluruhan 50 buah kelab yang tersenarai.

Berada di tangga ketiga ialah Barcelona dengan nilai €1.393 billion manakala gergasi Bundesliga Jerman, Bayern Munich berada di tangga keempat dengan nilai €1.314 billion.

Manchester City yang dimiliki oleh jutawan Timur Tengah yang juga merupakan juara Liga Perdana Inggeris musim ini berada di tangga kelima di dalam senarai Brand Finace, dengan nilai sekitar €1.255 billion.

Liverpool yang begitu hampir menamatkan kemarau kejuaraan Liga Inggeris pada musim ini setelah dibezakan hanya dengan satu mata oleh City pula berada di tangga keenam, dengan nilai €1.191 billion.

Kelab Inggeris terus menguasai senarai 10 teratas kelab paling bernilai apabila Chelsea (€968 juta) di tangga ke-7, Arsenal (€885 juta) di tangga ke-9, dan Tottenham Hotspur (€758 juta) berada di tangga ke-10.

Paris Saint-Germain melengkapkan senarai 10 kelab paling bernilai di tangga kelapan dengan nilai keseluruhan €914 juta. – Agensi

Loading...