Real Madrid Ikat ‘Messi Jepun’

MADRID – Real Madrid mengesahkan mereka menandatangani pemain remaja Jepun, Takefusa Kubo hari ini.

Pemain berusia 18 tahun itu menyertai pasukan berkenaan dari FC Tokyo dan akan bermain untuk pasukan B Madrid, Castilla, musim depan.

“Takefusa Kubo akan menyertai Castilla musim depan,” kata kenyataan Real Madrid.

“Dia ialah seorang daripada pemain muda paling berbakat dalam bola sepak dunia, pemain tengah penyerang dengan teknik bagus dan ada visi hebat dalam perlawanan.”

Kubo, yang dilabelkan ‘Messi Jepun’ membuat penampilan pertama di peringkat antarabangsa ketika berdepan El Salvador awal bulan ini dan dikaitkan dengan Barcelona, Paris Saint-Germain dan juara Liga Perdana, Manchester City.

Kubo mendapat panggilan berkenaan selepas menyertai akademi Barca pada usia 10 tahun tetapi kembali ke Jepun pada 2015 kerana hukuman FIFA kepada kelab berkenaan akibat melanggar peraturan menandatangani pemain bawah umur.

Barcelona terus memantau perkembangan Kubo sejak itu tetapi Madrid merebutnya daripada pencabar La Liga itu dengan tawaran 2 juta euro (RM9.39 juta) setahun menurut media Jepun. – Agensi

Loading...