RCI: VAT69 Jejaki Kem Penempatan Sementara PATI

PUTRAJAYA – Seramai 25 anggota pasukan elit Polis Diraja Malaysia (PDRM), 69 Komando (VAT69) berjaya menahan lima pendatang asing tanpa izin (PATI) di Genting Perah, Perlis pada 2015.

Pembantu Pegawai Pemerintah Skuadron Delta VAT69, Inspektor Mohamad Afiq Sarmid memaklumkan, penahanan itu merupakan hasil tinjauan pihaknya di dalam menjejaki jika masih terdapat lagi kem penempatan sementara PATI di sempadan negara.

Kata beliau lagi, malah pihaknya telah menemukan sepucuk pistol, 12 peluru serta sebilah pisau terhadap dua orang daripada lima warga asing berkenaan.

“Saya yang mengetuai operasi ini terdiri empat kumpulan telah memulakan operasi selama tiga hari iaitu bermula 11 Mac sehingga 13 Mac 2015 dengan perjalanan memakan masa dua hari.

“Pada hari ketiga, kami berjaya menemukan satu kem penempatan yang ditinggalkan iaitu diperbuat daripada rangka kayu terletak kira-kira 100 meter dari batu sempadan,” katanya.

Beliau memberikan keterangan pada pendengaran awam hari keenam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian di sini hari ini.

Saksi ke-17 itu menambah, pihaknya kemudian memaklumkan perkembangan itu kepada pegawai pemerintah markas taktikal dan mereka selepas itu diarahkan beredar dari kawasan terlibat.

“Arahan lanjut kami terima iaitu balik, tangkap PATI dan ambil barangan rampasan serta serah pada Cawangan Khas,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Loading...