RCI Tidak Diperlukan Dalam Kes Adib – Zuraida

PUTRAJAYA – Tidak ada keperluan untuk kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, buat masa ini inkues kematian anggota bomba itu berjalan dengan baik.

“Saya rasa tidak diperlukan (RCI) dalam perkara ini kerana kes berjalan dengan baik setakat ini.

“Dan kita tunggu keputusan prosiding koroner nanti,” katanya selepas majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2019 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Ibu Pejabatnya di sini tengahari tadi.

Turut bersama memeriahkan majlis ialah Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Mohammad Hamdan Wahid.

Semalam, Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Ibrahim Ali mengulangi pendiriannya mendesak kerajaan menubuhkan RCI bagi kes kematian MUhammad Adib.

Ibrahim memberi alasan bahawa inkues yang sedang berlangsung sekarang mencetuskan keraguan akan ketulenan dan ketelusannya ekoran dua saksi utama membuat laporan polis mendakwa mereka telah diugut pihak tertentu manakala peguam yang mewakili KPKT pula menarik diri atas arahan Peguam Negara, Tommy Thomas.

Ditanya mengenai pelantikan peguam baharu mewakili kementerian itu dan Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam kes itu, Zuraida berkata beliau akan menyemak perkara itu dengan Tommy.

“Inkues Adib akan sambung 26 Jun ini dan saya masih belum dapat maklumbalas daripada AG (Peguam Negara) mengenai peguam yang akan mewakili KPKT dan bomba,” katanya.

Loading...