Rayuan Samirah Untuk Diikat Jamin Ditolak

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak rayuan Samirah Muzaffar untuk diikat jamin berhubung pertuduhan membunuh suaminya iaitu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn. Bhd., Nazrin Hassan.

Panel tiga hakim dipengerusikan oleh Hakim Datuk Kamardin Hashim memutuskan demikian kerana berpendapat Mahkamah Tinggi Shah Alam tidak terkhilaf dalam membuat keputusan untuk menolak permohonan tertuduh.

Bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sebelum ini memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak pemohonan ikat jaminnya sementara menunggu perbicaraan kesnya yang ditetapkan pada 3 September ini.

Pada 12 Mac lalu, Samirah, 44, dua remaja berusia 14 dan 17; dan seorang warganegara Indonesia Eka Wahyu Lestari, yang kini masih bebas, dituduh membunuh Nazrin, 47, di sebuah rumah di Mutiara Homes, dekat sini, antara 11.30 malam pada 13 Jun 2018, dan 4 pagi pada 14 Jun 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu yang dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama, memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan dengan kesalahan itu.

Pada 27 Mac lalu, kedua-dua remaja lelaki itu dibenarkan diikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin masing-masing.

Samirah diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Jamil Aripin.

Loading...