Rayuan Mahathir Kembalikan Saman Batal RCI Forex Ditolak

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan menolak rayuan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad untuk mengembalikan semula saman beliau yang memohon perisytiharan untuk membatalkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1990-an.

Hakim Ahmadi Asnawi yang mempengerusikan panel 3 hakim menegaskan dapatan RCI tidak boleh dicabar.

Beliau berkata apa yang dicabar Mahathir adalah dapatan RCI itu sendiri seperti yang terkandung dalam laporan RCI.

Sehubungan itu, Ahmadi berkata keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan RCI membabitkan klip video kontroversial seorang bekas peguam, VK Lingam, terpakai dalam kes Mahathir.

Pada 2011, Mahkamah Persekutuan memutuskan dapatan RCI dalam kes klip video Lingam tidak boleh disemak semula kerana pesuruhjaya hanya membuat penemuan dan bukannya keputusan.

Ahmadi yang bersidang bersama Hakim Lau Bee Lan dan Has Zanah Mehat berkata Seksyen 22 Akta Suruhanjaya Siasatan memperuntukkan budi bicara yang meluas kepada RCI untuk mengawal selia urusannya dan prosedurnya sendiri, termasuk mengumpul laporan serta peraturan untuk laporan itu dipersembahkan kepada Agong.

“Kami juga berpendapat bukanlah peranan mahkamah ini untuk memberitahu RCI bagaimana untuk mengendalikan urusannya,” katanya.

Panel itu mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Disember 2018 untuk membatalkan saman pemula Dr. Mahathir yang memohon perisytiharan bahawa laporan RCI mengenai kerugian urus niaga mata wang asing oleh BNM adalah tidak sah, tidak lengkap dan cacat kerana ia tidak memasukkan dokumen undang-undang saksi, nota prosiding dan hujahan lisan.

Dalam saman yang difailkan pada Disember 2017, Mahathir turut memohon mahkamah mengisytiharkan sebarang laporan oleh RCI yang diwujudkan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan akan hanya menjadi sah sekiranya ia mengandungi kenyataan bertulis oleh saksi yang memberi keterangan dalam prosiding, selain nota prosiding dan hujahan.

Beliau menamakan Pengerusi RCI, Mohd Sidek Hassan, anggota suruhanjaya yang terdiri daripada Wira Kamaludin Md Said, Tajuddin Atan, Saw Choo Boon, K Pushpanathanan dan Yusof Ismail, bekas perdana menteri Najib Razak, anggota Kabinet serta kerajaan, sebagai defendan dalam saman itu.

Sebelum itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili Mahathir, berkata anak guamnya bukan memohon untuk membatalkan dapatan RCI, sebaliknya mahu perisytiharan laporan itu hanya akan lengkap dan sah sekiranya ia mengandungi dokumen yang berkaitan.

Bagaimanapun, peguam kanan persekutuan Mazlifah Ayob, yang mewakili responden, berhujah jika laporan RCI diisytiharkan batal dan tidak sah, dapatan dan syor RCI juga akan diisytiharkan batal dan tidak sah, oleh itu, keputusan Mahkamah Persekutuan ke atas dapatan RCI berhubung klip video Lingam turut terpakai dalam kes Mahathir.

Loading...