Ratifikasi Statut Rom Boleh Langsaikan Hutang Negara

KUALA LUMPUR – Penganalisis politik, Raja Petra Kamarudin secara terang-terangan menyokong kenyataan Peguam Negara, Tommy Thomas bahawa Malaysia perlu meratifikasikan Statut Rom.

Ujarnya, hanya satu cara sahaja untuk Putrajaya memulihkan ekonomi dan menunaikan janji manifesto dengan langkah meratifikasikan perjanjian itu.

“Apa yang dikatakan oleh AG adalah benar. Jika Malaysia telah mengesahkan Statut Rom, pasaran saham akan meningkat, hutang Malaysia akan dibayar sepenuhnya, harga minyak sawit akan meningkat dua kali ganda, harga petrol akan turun kepada RM1.50, upah minimum kini akan menjadi RM2,000 dan lain-lain,” katanya merujuk kenyataan Peguam Negara semalam.

Dalam Forum Awam Malaysia dan Statut Rom di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM), Tommy berkata, berdasarkan perspektif perundangan yang jelas, adalah sukar untuk tidak meratifikasi statut berkenaan, sekali gus menafikan tuduhan dan berita palsu yang dibawa pihak tertentu membabitkan Statut Rom.

“Pengkritik pada hari ini pernah menyokong keputusan yang ada pada hari ini. Bagaimana pihak berkenaan yang membantah Statut Rom menyebarkan berita palsu dan mengelirukan masyarakat dengan menyatakan ia akan mengugat kedudukan Raja-raja Melayu,” katanya dalam forum berkenaan.

Tommy turut menegaskan, kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri terkecuali atas perkara yang terkandung dalam Statut Rom.

Beliau turut memberitahu, kekebalan Raja-Raja Melayu sudah lama terhapus sejak 25 tahun lalu kerana Perlembagaan Persekutuan telah dipinda pada 1993 dengan menubuhkan Mahkamah Khas bagi kesalahan yang dilakukan Raja-Raja Melayu.

Ratifikasi Status Rom ditarik balik oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ditandatangani pada 4 Mac lalu setelah mengambil kira pandangan semua pihak. – MalaysiaGazette

Loading...