Rasuah: Pegawai Pengurusan Kanan Tabung Haji Dibebaskan

PUTRAJAYA – Seorang pegawai pengurusan kanan Tabung Haji bergelar ‘Datuk’ yang direman empat hari bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan kes rasuah berbentuk pengubahsuaian rumah bernilai RM400,000, dibebaskan selepas tempoh tahanan reman berakhir hari ini

Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya membebaskan suspek berusia 48 tahun yang ditahan reman sejak Rabu lalu.

Dia dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain perlu menyerahkan pasport kepada SPRM.

Suspek tiba di perkarangan mahkamah di sini kira-kira 10 pagi berpakaian kemeja lengan panjang berwarna biru tua.

Menurut sumber SPRM, suspek menerima rasuah berbentuk pengubahsuaian rumah berjumlah RM400,000 sebagai balasan memberi projek kerja-kerja penjenamaan semula pejabat cawangan Tabung Haji kepada syarikat kontraktor melibatkan kos RM15 juta.

Suspek dipanggil untuk memberi keterangan dan ditahan pada pukul 8.35 malam pada Selasa (18 Dis) di ibu pejabat SPRM.

Lembaga Tabung Haji pada 30 Nov lalu membuat laporan polis berhubung penyalahgunaan wang dana jemaah haji dan salah nyata dalam perjanjian korporat.

Laporan itu membabitkan bekas Pengerusi Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah; serta pengurusan kanan Tabung Haji. – BERNAMA