Rasuah Lori Kebal, 9 Didakwa 162 Pertuduhan Esok

PULAU PINANG – Kes rasuah yang menjadi perhatian ramai melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri ini akan memasuki proses pendakwaan esok apabila sembilan individu akan didakwa dengan 162 pertuduhan.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kesemua individu yang terdiri daripada anggota JPJ dan bekas kakitangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth, di sini esok kira-kira pukul 8.30 pagi.

Katanya, mereka akan didakwa di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM iaitu menerima suatu suapan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap syarikat lori yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Kes rasuah itu terbongkar awal April lalu dan menjadi perhatian ramai selepas lebih lebih 70 individu yang sebahagian besarnya penguat kuasa JPJ ditahan SPRM kerana dikatakan melindungi syarikat lori yang melakukan kesalahan jalan raya.

Setiap anggota JPJ terbabit dipercayai menerima bayaran antara RM10,000 hingga RM32,000 secara bulanan sebagai dorongan untuk melindungi pemandu lori lebih muatan dengan tidak mengambil tindakan.

Mereka turut didakwa membocorkan maklumat operasi yang akan dan sedang dijalankan JPJ, selain kumpulan lori berkenaan dilindungi menggunakan pelekat khas dikatakan hanya dikenali serta difahami penguat kuasa terbabit.

Loading...