Rasuah Hakim Syarie: Polis Jalankan Siasatan Dalaman Anggota

IPOH – Polis akan menjalankan siasatan dalaman terhadap dua anggotanya yang dikatakan terlibat dalam kes rasuah membabitkan seorang Hakim Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, siasatan tersebut akan dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Kontinjen Perak.

“Saya percaya bahawa tangkapan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu mesti ada keterangan yang munasabah mengapa tangkapan tersebut dibuat.

“Di pihak kita, kita juga akan membuat siasatan dalaman ke atas anggota terbabit di mana siasatan itu akan diambil oleh JIPS Perak,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas di Mes Pegawai Kanan di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) negeri, Senior Asisten Komisioner G. S. Suresh Kumar dilantik sebagai Ketua JPJKK Perak yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan tersebut bagi menggantikan Senior Asisten Komisioner Mohamad Laham yang menamatkan perkhidmatannya dalam pasukan polis selepas bersara pada Sabtu ini.

Semalam, seorang Hakim Mahkamah Rendah Syariah di sini yang berusia 37 tahun direman selama lima hari oleh Mahkamah Majistret selepas dipercayai menerima suapan berjumlah RM4,000.

Turut direman untuk tempoh yang sama ialah seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 30 tahun yang dipercayai bersubahat dengan Hakim Syarie berkenaan.

Difahamkan, kedua-dua mereka ditahan polis selepas dipercayai terlibat untuk memperoleh suapan berjumlah RM4,000 bagi tujuan melepaskan seorang pegawai polis berpangkat Inspektor yang ditahan atas kes khalwat. – UTUSAN ONLINE