Rasuah: 2 Pegawai Kanan ATM Didakwa Lagi

SHAH ALAM – Dua pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam atas pertuduhan rasuah berhubung beberapa projek di Kementerian Pertahanan (Kementah), hari ini menghadapi pertuduhan baharu juga membabitkan rasuah berhubung projek sama, di Mahkamah Sesyen di sini.

Kolonel Che Ahmad Idris, 54, dan Brig Jen Mohammed Feizol Anuar Ayob, 50, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Yang Zaimey Yang Ghazali.

Che Ahmad, Ketua Cawangan Peperangan Siber Strategik, Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) Kementah ketika kejadian, didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah GBP 4,500 bersamaan RM25,000 daripada Pengarah Urusan Syarikat FEHM Entity Sdn Bhd (FEHM Entity), Elias Jemadi Tajudin sebagai upah melantik syarikat itu secara rundingan terus bagi perkhidmatan senggaraan untuk BSPP.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Induk Stride, Taman Bukit Mewah Fasa 9, Kajang dekat sini, pada 22 November tahun lepas mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Mohammed Feizol Anuar yang merupakan penasihat ketenteraan menteri pertahanan semasa kejadian, pula didakwa atas dua pertuduhan meminta dan bersetuju menerima suapan RM150,000 daripada Elias Jemadi sebagai dorongan bagi membantu menyerahkan Surat Niat untuk menjadi rakan strategik dan kontraktor senggaraan bagi peralatan perisikan untuk BSPP bertarikh 5 September 2018 dari Syarikat FEHM Entity kepada menteri pertahanan.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di sebuah kafe di Setia Alam di sini, pada September tahun lepas mengikut Seksyen 16 (a) (B) akta sama.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi. 

Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Nurdihana Rosdi menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin kepada Che Ahmad manakala TPR Muhammad Asraf Mohamed Tahir menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin kepada Mohammed Feizol Anuar bagi kedua-dua pertuduhan.

Selain itu, mereka juga memohon mahkamah mengguna pakai syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah serta tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat sebulan sekali, seperti yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.

Peguam Gooi Soon Seng yang mewakili Che Ahmad bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan yang ditawarkan atas alasan anak guamnya telah diikat jamin dengan jumlah yang tinggi semalam iaitu RM80,000, sementara peguam Asmadi Hussin yang mewakili Mohammed Feizol Anuar pula tidak membantah.

“Jaminan yang ditawarkan amat munasabah dan pihak kami  tiada bantahan,” kata Asmadi yang turut dibantu peguam Azrul Zulkifli Stork.

Yang Zaimey membenarkan Che Ahmad dibebaskan dengan jaminan RM15,000 dan Mohammed Feizol Anuar dengan jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan, masing-masing dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 November depan untuk sebutan semula kes.

Di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam, Che Ahmad mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan meminta suapan RM500,000, satu pertuduhan setuju terima suapan RM500,000 dan tiga pertuduhan menerima suapan RM105,000 daripada Elias Jemadi sementara Mohammed Feizol Anuar mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan menerima suapan berjumlah RM128,000 juga daripada individu sama.

Pada 15 Oktober lepas, bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas lima pertuduhan menerima dan meminta suapan berjumlah RM6.35 juta daripada FEHM Entity bagi membantu mendapatkan projek di kementerian itu. – BERNAMA

Loading...