Rapid Pengerang: Hanya Saluran Paip Meletup

134

KOTA TINGGI – Letupan dan kebakaran yang berlaku di satu lot tapak projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid), Pengerang di sini, awal pagi tadi membabitkan saluran paip dan bukan melibatkan tangki.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, insiden itu juga hanya membabitkan kurang satu peratus daripada keseluruhan keluasan 8,000 hektar projek berkenaan.

Menurutnya, pihaknya sudah mengadakan lawatan dan mendengar taklimat daripada pihak Petronas yang berlangsung selama kira-kira 30 minit bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung insiden itu.

Tiada kebocoran gas dan bacaan kehadiran gas berbahaya di udara juga menunjukkan tanda negatif. Kita tahu, orang ramai takut jika ada berlaku pencemaran gas berbahaya, tetapi difahamkan bacaan negatif dan selamat, tiada ancaman seumpama itu.

“Harap orang awam faham dengan keadaan ini dan janhan panik. Macam-macam gambar tular, ada gambar orang pakai penutup mulut dan hidung, jadi orang luar ingat inisden ini seperti pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, tetapi tidak,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan.

Jimmy berkata, hasil siasatan punca sebenar kebakaran itu mungkin akan diperoleh antara dua hingga tiga hari lagi, malah pihaknya tidak mahu memberi sebarang komen berhubung keadaan pelaburan negeri susulan insiden itu.


“Petronas dalam siasatan lagi, bila sah apa punca kebakaran itu, baru saya akan komen mengenai pelaburan. Apa yang hendak kita pastikan sekarang, semuanya selamat,” katanya.

Sementara itu, Aminolhuda berkata, kerajaan mengucapkan syabas kepada pihak Petronas yang mana Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) Rapid, Pengerang berjaya memadamkan kebakaran dalam masa 30 minit selepas insiden.

“Mereka terus bertindak dan dapat menutup kebocoran paip, maka pembakaran pun dapat berhenti terus. Jika tangki yang meletup, mungkin ia akan ambil masa yang lama untuk dikawal,” katanya.

Kejadian yang berlaku di Pakej 2, RAPID dengan membabitkan letupan dan kebakaran turut dirasai penduduk sekitar yang merasa gegaran iaitu Kampung Lepau, Taman Rengit Jaya dan Kampung Sungai Kapal. – K! ONLINE