RUU Perkhidmatan Awam Dibentang Awal Tahun Depan

GEORGE TOWN – Rang Undang-undang (RUU) Perkhidmatan Awam sedang diperhalusi dan dijangka dapat dibentangkan pada persidangan pertama Parlimen tahun depan, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Borhan Dolah.

Beliau berkata pihaknya menjangkakan penyediaan RUU itu dapat diselesaikan pada akhir tahun ini sebelum dibentangkan awal tahun depan.

“Sebenarnya gerakan ini dah kita mulakan sejak tahun lepas lagi tetapi bila adanya kerajaan yang sekarang ini nampaknya sudah ada gerakan-gerakan untuk kita mempercepatkan akta ini bagi meletakkan urusan penjawat awam dan anggota pentadbiran dalam satu baris yang lebih jelas.

“Kalau dahulu segala urusan itu adalah dengan pekeliling dan sebagainya tetapi yang ini kita letakkan pada suatu akta yang lebih tinggi tahapnya kerana kita mahu penjawat awam dan perkhidmatan awam tidak memihak kepada mana-mana pihak dan kita “serve government of the day,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Bersama Penjawat Awam Pulau Pinang, di sini hari ini.

Beliau berkata akta itu juga antara lain untuk mengelakkan penjawat awam daripada terlalu berpolitik selain pihak luar tidak terlalu mencampuri urusan dalam perkhidmatan awam.

Borhan mengakui terdapat penjawat awam yang terlibat dengan politik, namun jumlahnya sangat kecil.

“Kebebasan politik itu kita dapat zahirkan tetapi dalam kita menjalankan tugas kita harus profesional. Maknanya kita tidak keterlaluan. Jadi, kita tidak semestinya terlalu ke depan sangat sehingga dilihat begitu politik dalam urusan,” katanya.

Mengulas mengenai tahap perkhidmatan awam, Borhan berkata perkhidmatan awam negara berada di tahap baik dan mampu ke tahap yang lebih baik lagi dengan membuat beberapa pembaharuan dalam perkhidmatan awam.

“Semua aspek dalam perkhidmatan awam akan kita perbaharui kerana kita nampak ada ruang-ruang lagi yang boleh kita baiki. Pernah satu ketika kita berada pada satu tahap penjawat awam yang ‘top ten in the world’.

“Sekarang (perdana menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad mahu kita berada di situ (semula). Jadi, saya percaya kita boleh melakukannya,” katanya.

Terdahulu, Borhan menyampaikan sijil pentauliahan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (Akrab) kepada 30 penjawat awam di negeri ini. – BERNAMA

Loading...