Rancangan, Filem Eksklusif Percuma Di Youtube

SAN FRANCISCO – Rangkaian perkongsian video terkemuka, YouTube, bercadang menjadikan semua program asal boleh ditonton secara percuma dengan iklan, dalam usaha menarik lebih ramai penonton bagi rancangan dan filem yang kebanyakan terhad kepada pelanggan berbayar.

Peralihan dalam strategi itu bermakna bermula tahun hadapan, YouTube Premium tidak lagi mempunyai akses eksklusif kepada program asal, menghapuskan salah satu daripada keuntungan utama tawaran langganan.

Pilihan berbayar YouTube masih tidak akan menayangkan iklan daripada program asal selain video lain, dan didatangkan dengan keistimewaan muzik streaming.

YouTube tidak mendedahkan bilangan sebenar pelanggan bagi tawaran berbayar, dilancarkan tiga tahun lalu, yang boleh didapati di 29 negara.

Ia berkata, langkah itu bertujuan memuaskan hati semakin ramai pengguna antarabangsa yang berminat dengan program asal dan tuntutan pengiklan yang mahukan kaitan dengan kandungan khas.

Ia juga memberikan syarikat itu lebih fleksibiliti dalam memasarkan rancangannya.

Beberapa rancangan masa depan atau kandungan di belakang tabir masih kekal eksklusif kepada pelanggan, cuma untuk masa singkat, menurut jurucakap syarikat itu.

Pelanggan YouTube Premium perlu membayar AS$12 (RM48) sebulan di Amerika Syarikat.

Puluhan rancangan dan filem yang ditayangkan di YouTube Premium sebelum ini, seperti musim pertama komedi aksi popular, ‘Cobra Kai’, akan kekal untuk tontonan pelanggan berbayar. — Reuters/BH ONLINE

Loading...