KUALA LUMPUR – Kali pertama berbahas di Dewan Rakyat, Ramli Mohd. Nor (BN-Cameron Highlands) tampil dengan cara tersendiri.

Ramli yang merupakan Ahli Parlimen dalam kalangan Orang Asli mencuri tumpuan apabila berbahas sambil menggayakan ‘perhiasan’ di kepala yang biasa dilihat digayakan oleh masyarakat Orang Asli.

Ramli langsung tidak kelihatan kekok ketika berbahas dan sebagaimana janjinya sebelum ini, beliau membawa isu-isu Orang Asli.

Ramli dalam perbahasannya meminta Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan memperuntukkan bantuan kewangan bagi persediaan anak-anak Orang Asli yang akan mendaftar masuk ke universiti-universiti awam.

Isu itu dibangkitkan beliau kerana kebanyakan ibu bapa Orang Asli adalah dalam kalangan miskin tegar dan mereka tidak mampu untuk menyediakan kelengkapan anak-anak mereka ke universiti.

Ramli berkata, bantuan itu adalah wajar dalam bentuk wang tunai sementara menunggu bantuan pembiayaan Pendidikan atau biasiswa.

Beliau malah memberitahu, banyak yang perlu dibayar oleh ibu bapa Orang Asli yang anak-anak mereka akan memasuki ke universiti termasuk kos pemeriksaan kesihatan dan kos pengangkutan pergi balik sewaktu menghantar anak-anak ke asrama.

“Barisan Nasional (BN) sebelum ini memperuntukkan bantuan sebanyak RM3,000 setiap orang sebagai persediaan pelajar Orang Asli mendaftar ke universiti.

“Saya harap kerajaan sekarang dapat menyemak semula nilai bantuan ini supaya dapat membantu para pelajar Orang Asli di luar bandar,” katanya sewaktu membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini. – UTUSAN ONLINE

Loading...