Ramesh Rao Dipanggil Ke Bukit Aman Esok

PEMILIK akaun Twitter yang mendakwa hakim kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd membabitkan Datuk Seri Najib Razak, kononnya ada pertalian persaudaraan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad akan dipanggil memberi keterangan esok. 

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, individu itu akan hadir ke Bukit Aman esok bagi memberi keterangan berhubung dakwaan terbabit. 

Beliau berkata, siasatan dijalankan selepas satu laporan polis diterima di Taiping, Perak dan siasatan dibuat mengikut Akta Hasutan 1948 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, media melaporkan seorang ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Afzanizam Abdul Rahman membuat laporan polis di Taiping berhubung ciapan oleh Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia, Ramesh Rao di Twitter.

Selasa lalu, Ramesh mendakwa Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mensabitkan Najib dengan tujuh kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram adalah cucu saudara Mahathir.

Menerusi akaun Twitter, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga anak Ahli Parlimen Langkawi itu menafikan dakwaan terbabit dan menganggap ia sebagai tidak berasas serta meminta Peguam Negara menyiasat tohmahan berkenaan. – myMetro Online

Loading...