Ramai Tandatangani Petisyen Minta Neelofa Dipenjara

84

KUALA LUMPUR – Hampir 20,000 individu sudah menandatangani satu petisyen bagi menyarankan selebriti sensasi, Neelofa menerima hukuman setimpal atas pelbagai kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), baru-baru ini.

Menerusi laman web change.org, seorang individu yang menggunakan nama Hentikan Double Standard mendakwa selebriti berusia 32 tahun itu berulang kali melanggar SOP dengan menyenaraikan beberapa kesalahan dan menuntut tindakan wajar dikenakan. 

Petisyen bertajuk Langgar SOP: PDRM, Penjarakan Neelofa Segera itu membuatkan netizen bersatu hati apabila sejumlah tandatangan diterima sejak semalam. 

“Neelofa adalah seorang selebriti yang banyak kali melanggar SOP dan menidakkan undang-undang dalam usaha negara menangani pandemik Covid-19.

“Kesalahan-kesalahan dilakukan tanpa serik menyebabkan wujudnya undang-undang yang ‘double standard’ (pilih kasih) dikenakan terhadap beliau,” tulis keterangan pada petisyen berkenaan.

Antara kesalahan yang disenaraikan dalam petisyen itu adalah majlis perkahwinannya di ibu negara; rentas negeri ke Langkawi, Kedah; rentas negeri ke Nilai 3, Negeri Sembilan dan terbaharu tular video Neelofa dan ahli keluarga melanggar SOP sambutan Aidilfitri lalu. 


Hari ini, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz didakwa di Mahkamah Majistret, Seremban, Negeri Sembilan atas tuduhan pelanggaran SOP selepas merentas negeri bagi membeli karpet di sebuah kedai di Nilai 3.

Untuk rekod, Neelofa sebelum ini dikenakan kompaun RM20,000 kerana gagal mengamalkan penjarakan fizikal ketika majlis perkahwinannya dengan Haris, manakala 20 anggota keluarganya turut dikompaun sebanyak RM1,500 setiap seorang. 

Neelofa dan Haris kemudian dikompaun sebanyak RM10,000 atas kesalahan melanggar kebenaran merentas negeri kerana ke Langkawi selepas majlis pernikahan mereka.

Untuk dakwaan melanggar SOP sambuatan Aidilfitri lalu, Neelofa dan sembilan lagi anggota keluarganya sudah memberi keterangan Ibu Pejabat Polis Brickfields, Kuala Lumpur, kelmarin. – myMetro Online