Ramai Setuju PM Mahu Guru Pun Pakai Uniform! Betul Ke?

JIKA di Indonesia, semua kakitangan awam waima guru di sekolah milik pemerintah pun perlu memakai pakaian seragam ala pasukan keselamatan lengkap dengan tanda pangkat di bahu baju.

Itu kisah negara jiran namun baru-baru ini, tular menerusi media sosial cadangan seorang pemimpin dikatakan konon memberi pandangan bahawa warga pendidik perlu memakai pakaian seragam apabila bertugas di sekolah.

Menurut seorang pengguna Facebook tempatan, cadangan itu diutarakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Bagaimanapun semakan di Google tidak pula menemui sebarang kenyataan beliau mengenai perkara itu.

“Seragamkan pakaian tenaga pengajar. Sekolah tempat mengajar, bukannya medan fesyen,” demikian status Facebook yang tular itu dengan mendakwa kononnya ia cadangan Mahathir, 92, yang dimuat naik pada 18 Mei lalu.

Untuk rekod, ketua kerajaan tertua di dunia itu pernah jadi menteri pendidikan (1974 – 1977) dan ada mendakwa isu ini timbul apabila beliau menamakan dirinya sendiri untuk portfolio tersebut sebelum tukar pula kepada calon lain.

Bagaimanapun, cadangan kontroversi itu menimbulkan pelbagai reaksi berbelah bahagi dalam kalangan netizen termasuk golongan warga pendidik, menurut laporan sebuah portal berita tempatan dikenali sebagai The Reporter.

“Saya suka sebab cikgu perempuan tidak perlu lagi memakai blink-blink seperti zaman penyanyi Ramlah Ram,” – Wardah.

“Jimat duit, tidak perlu lagi cikgu hendak tampil fesyen up to date sangat apabila datang mengajar di sekolah,” – Laila.

“200% setuju. Tidak perlu sibuk hendak beli baju baru lagi. Harap cadangan ini dapat pula menjadi kenyataan,” – Ahmad Saha.

“Setuju! Tak perlu pening kepala cikgu kena fikir nak pakai baju apa, tudung nak corak matching dengan warna apa,” – Juliana.

“Baguslah. Ini datang ke sekolah pakai baju kebaya ketat, nampak bentuk tubuh. Nak rangsang nafsu lelaki ke?” – Revolusi Padu.

Namun, bagi individu lain pula ada yang anggap cadangan pelik itu sebagai tidak wajar kerana warga pendidik bukannya anggota badan beruniform khas dan fesyen memang adalah sebahagian daripada rutin kehidupan mereka sendiri.

Sementara itu, bancian portal tersebut melalui media sosial menunjukkan ramai netizen bersetuju berbanding yang tidak apabila 71 peratus daripada hampir 16,000 undian juga menyokong idea pakaian seragam untuk guru sekolah.

Setakat ini Kementerian Pendidikan Malaysia belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai isu ini, tetapi ia tidak mustahil boleh dilaksanakan di bawah visi kerajaan baharu Pakatan Harapan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...