“Ramai Salahkan Saya” – Mahathir

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan ramai Ahli Parlimen menyalahkan dirinya apabila berlaku pertukaran kerajaan disebabkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri. 

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, apa yang berlaku apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan oleh parti Bersatu dengan keluar PH, seluruh anggota parti itu kehilangan jawatan mereka. 

“Saya sebagai anggota kerajaan PH juga kehilangan jawatan. Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu sudah pun buat keputusan keluar daripada kerajaan PH apabila mereka merayakan bersama UMNO dan PAS di Hotel Sheraton.

“Pelantikan saya sebagai Perdana Menteri Interim adalah melalui budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk menentu negara tidak hilang kepimpinan sebelum kerajaan baru ditubuh,” katanya dalam perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini. 

Dalam perbahasan itu, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin mencelah dengan bertanyakan soalan kepada Dr Mahathir mengenai adakah kerajaan negeri di Sabah juga kerajaan pintu belakang walaupun tidak menang dalam pilihan raya atau disebabkan UPKO melompat menyokong kerajaan sedia ada. 

Dr Mahathir kemudian mengakui lompat parti banyak berlaku di Sabah. 

“Saya berpendapat lompat melompat (parti) ini banyak terjadi di Sabah, entah pasai apa (pasal apa) saya tidak tahu. 

“Tetapi memang ini berlaku dulu tetapi di peringkat pusat ini tidak pernah berlaku (lompat parti) sebelum ini, kita hormati keputusan di buat rakyat.

“Parti dan dasar yang majoriti rakyat tolak kini menubuhkan kerajaan,” katanya.

Dr Mahathir berkata, negara hadapi banyak cabaran ketika ekonomi negara sudah menurun, perang dagang antara China dan Amerika mengancam, ekonomi dunia merosot, pandemik Covid-19 kemudiannya menghentikan perniagaan dan perusahaan, permintaan untuk minyak dan gas jatuh disebabkan pandemik, harga minyak dan gas menurun, pendapatan kerajaan dari hasil jualan minyak turut berkurangan.

“Semua ini mengancam ekonomi negara di waktu ini, ada pihak yang merancang untuk rebut kuasa dan mengkhianati kerajaan pilihan rakyat melalui kerajaan pintu belakang. Dengan ini politik negara menjadi kucar-kacir.

“Saya sedih kerana perancangan ini membabitkan parti saya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia. 

“Parti ini ditubuh khusus untuk menjatuhkan kerajaan kleptokrat pimpinan Datuk Seri Najib (Razak) dan perancangan ini kononnya bertujuan menyelamat Melayu daripada dihancurkan oleh DAP,” katanya. – myMetro Online

Loading...