Ramai Penjawat Awam Masih Tidak Mampu Beli Rumah

KUALA LUMPUR – Hampir 95 peratus penjawat awam yang berusia bawah 30 tahun masih tidak mampu membeli rumah, kata Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Presidennya, Azih Muda berkata kebanyakan penjawat awam tidak mampu membeli rumah dengan gaji semasa kerana harga rumah yang mahal.

“Kami masih sedang membincangkan kos sara hidup yang tinggi terutama dalam kalangan belia. Kebanyakannya berpendapatan RM4,000 ke bawah sebulan jadi sangat sukar untuk mereka membeli rumah.

“Sementara itu, 75 peratus penjawat awam berusia 40 tahun ke bawah yang masih belum memiliki rumah,” katanya kepada pemberita di pusat kovensyen CIDB susulan kongres yang berlangsung semalam.

Cuepacs berharap kerajaan akan secara berterusan menangani kos sara hidup.

Beliau berkata walaupun terdapat banyak unit-unit tidak terjual dilaporkan, rumah-rumah itu berharga RM300,000 ke atas.

Beliau berkata kebanyakan penjawat awam hanya mampu membeli rumah sekitar RM250,000 dan ke bawah.

“Harga rumah mampu milik yang ditetapkan kementerian terlalu tinggi. Rumah mampu milik harus dijual bawah RM250,000.

“Kita jangan terima cadangan pemaju. Mereka bina rumah dan kemudian sudah tentu menjual pada harga yang lebih tinggi.”

Azih menggesa Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) menurunkan caj perkhidmatan bagi insurans rumah, yang menurutnya terlalu tinggi dan membebankan rakyat.

“Kami berharap LPPSA selaku pembiaya rumah untuk sektor awam akan mengkaji balik caj itu, yang hampir mencecah 45 peratus.

“Daripada 45 peratus itu, LPPSA mengambil 15 peratus daripada komisyen dan syarikat insurans mengambil 15 hingga 20 peratus daripada caj.”

Beliau berkata sehingga kini kira-kira 55 peratus daripada 1.6 juta penjawat awam membuat pinjaman dengan LPPSA.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Amiruddin Hamzah berkata pihaknya akan mengkaji perkara itu, dan menambah dia ada maklumat tentang caj perkhidmatan yang dikenakan LPPSA.

“Apa pun yang dibincangkan, ia tidak boleh membebankan rakyat.” – FMT