Ramai Bekas Pelajar Sekolah Sukan ‘Ke Laut’

KUALA LUMPUR – Nelayan, juruwang, operator kilang, pemandu lori dan badan beruniform menjadi antara profesion yang makin sinonim dengan sesetengah bekas pelajar yang pernah berada dalam sistem sekolah sukan di Malaysia.

Itu antara kesudahan nasib dialami bekas pelajar di sekolah sukan yang tidak berjaya dalam bidang diceburi selepas terlampau leka dalam mengejar impian untuk bergelar pemain kebangsaan.

Ketika masih ada yang berjaya mencapai kejayaan untuk bergelar jurulatih, guru dan peguam selain mewakili negara, tetapi jumlah mereka yang gagal sebenarnya lebih besar.

Senario itu diakui bekas pelajar Sekolah Sukan Malaysia (SSM) yang hanya mahu dikenali sebagai Zack apabila mengakui ‘tertipu’ dengan jaminan masa depan yang cerah sebaik menjejak kaki ke sekolah itu yang disifatkannya sebagai indah khabar dari rupa.

“Kali pertama masuk memang saya amat gembira kerana bukannya mudah untuk diserap ke SSM.

“Tapi jika diberi peluang untuk sekali lagi membuat pilihan, saya mungkin tidak menerimanya kerana jaminan masa depan yang cerah dalam sukan hanya janji palsu semata-mata.

“Mana tidaknya, selepas tamat sekolah nak dikekalkan dalam program sukan pun susah apatah lagi kebanyakan program remaja negara lebih terarah kepada pemain di bawah usia 21 tahun. Selepas itu apakah hala tuju kami?

“Terus terang saya katakan, ramai di antara kami menghadapi kesukaran mencari pekerjaan, malah ada yang kini bekerja sebagai nelayan, operator kilang mahupun pemandu lori bagi meneruskan kehidupan,” katanya kepada NSTP.

Malah, dalam kes Zack sendiri, dia pernah bekerja sebagai juruwang di sebuah pasaraya sebelum mula menjalankan perniagaan kecil-kecilan demi kelangsungan hidupnya.

“Macam mana kami nak minta kerja, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Pra-Universiti memang kurang memberangsangkan. Ini kerana di sekolah sukan sejak dari awal fokus kami hanya kepada sukan, jadi dari segi akademi memang agak ke belakang.

“Jangan tengok kelompok pelajar yang berjaya dalam sukan saja, sebenarnya kelompok yang gagal lebih ramai.

“Bila orang bercakap ketika zaman sukan kenapa tidak bersungguh-sungguh, bayangkan yang menamatkan pengajian 30 pelajar, takkan semuanya akan diserap ke dalam skuad senior,” ulasnya.

Menurutnya, apa yang diperjuangkannya ini lebih kepada memastikan generasi pelajar sekolah sukan akan datang tidak senasib dengannya.

“Sebolehnya janganlah abaikan atlet ini, hargailah pengorbanan kami yang menjalani latihan antara lima hingga tujuh tahun tanpa henti dalam memburu cita-cita mewakili negara.

“Malah, ia akan menjadi pelaburan yang merugikan jika kemahiran dan pengetahuan yang ada pada kami semua tidak dimanfaatkan sebaik mungkin.” – BH ONLINE

Loading...