Rakyat Sekali Lagi Didendang Harapan Palsu Oleh PH

 

1. Menjelang tahun baru 2019, rakyat sekali lagi didendangkan dengan harapan palsu daripada Pakatan Harapan. Kerajaan memutuskan tiada kenaikan kadar tol bagi semua kelas kenderaan di 21 lebuh raya di seluruh negara pada tahun depan. Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata pembekuan kenaikan kadar tol itu membabitkan implikasi kewangan kerajaan sebanyak RM994.43 juta.

2. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menggesa seluruh rakyat Malaysia, terutama yang mengundi Pakatan Harapan pada PRU-14, untuk merujuk kembali janji-janji manis pemimpin mereka di dalam Buku Harapan. Teras 1 Buku Harapan bertujuan meringankan beban rakyat. Janji ke-6 di dalam Teras 1 merujuk bahawa pemimpin Pakatan Harapan beriltizam untuk menghapuskan kutipan tol.

3. Merujuk kepada Janji ke-6 ini, dikatakan bahawa, “UMNO dan Barisan Nasional terus membiarkan syarikat konsesi, seperti PLUS, terus-menerus menekan rakyat demi mengaut keuntungan, walaupun ia adalah syarikat milik kerajaan. Walaupun tol tidak dinaikkan, syarikat-syarikat terpilih terus mengaut keuntungan”.

4. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menggesa YB Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk bersikap telus kepada rakyat. Anda kini adalah kerajaan dan berdasarkan Buku Harapan, anda kini berada di pihak yang berkuasa untuk menentukan dasar syarikat konsesi kerana ia adalah syarikat milik kerajaan. Kenapakah anda pula terus-menerus menekan rakyat demi syarikat konsesi mengaut keuntungan?

5. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia mengajak seluruh rakyat Malaysia menggesa kerajaan menunaikan janji Manifesto Harapan mereka. Jikalau mereka tidak terdaya untuk menghapuskan semua tol seperti yang dijanjikan, hapuskanlah tol-tol yang kerap digunakan oleh rakyat Malaysia secara berperingkat-peringkat. Setidak-tidaknya, mereka boleh berdiri dan berdabik dada bahawa mereka telah menghapuskan beberapa tol tahun hadapan. Sekarang ini, penghapusan tol yang bakal dilaksanakan adalah hanya kepada tol motosikal di beberapa laluan.

6. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menganggap kerajaan Pakatan Harapan mungkir janji. Tahun 2019 bakal menjadi tahun ekonomi mencabar untuk rakyat Malaysia. Pelbagai perkara asas rakyat seperti makanan, elektrik, dan air akan naik harga bermula 1 Januari 2019 disebabkan SST, tarif naik dan subsidi dikurangkan. Rakyat terus terbeban dan ditekan kerana kos sara hidup yang naik tinggi.

7. Kami Pemuda Gagasan Sejahtera menjadi suara rakyat Malaysia untuk menegur kerajaan yang tidak menunaikan janji. Kami Pemuda Gagasan Sejahtera akan terus memastikan rakyat mendapat maklumat yang benar dan tidak tertipu dengan helah licik mengaburi mata rakyat untuk lupa akan janji-janji manis Buku Harapan.

Demi Bangsa Malaysia!

Shahir Adnan
Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia
merangkap
Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera

Loading...