Rakyat Perlu Biasakan Diri Kehidupan ‘The New Normal’

PUTRAJAYA – Rakyat perlu membiasakan diri menjalani kehidupan ‘the new normal’ atau kebiasaan baharu pada masa hadapan pasca pandemik koronavirus (Covid-19).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, secara ringkasnya kehidupan rakyat negara ini untuk bulan-bulan atau tahun mendatang ini tidak akan kembali seperti biasa.

Menurutnya, segala perkara yang menjadi kebiasaan suatu ketika dahulu, sudah tidak boleh dilakukan lagi seperti amalan berjabat tangan.

“Apa yang biasa kita buat dahulu, tak boleh kita buat lagi. Contoh mudahnya, berjabat tangan. Kalau dulu berjabat tangan bila berjumpa adalah satu perkara yang biasa dibuat.

“Kalau tak dibuat ianya dianggap janggal, atau tak beradab. Tetapi sekarang ini lain. Kita tak boleh berjabat tangan bila berjumpa untuk mengelakkan jangkitan virus. Mungkin kita tunduk sahaja sebagai tanda hormat.

“Ini adalah ‘the new normal’, atau kebiasaan baharu,” katanya sewaktu menyampaikan perutusan khas kerajaan melalui saluran media rasmi hari ini.

Muhyiddin turut menegaskan amalan kebiasaan itu juga akan menjadi ‘new normal’ diamalkan masyarakat dunia lain memandangkan seluruh dunia terkesan dengan Covid-19 termasuk negara-negara jiran.

Pada masa sama, Muhyiddin telah mengarahkan Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Imigresen, RELA dan lain-lain agensi yang berkaitan supaya perketatkan kawalan di sepanjang sempadan negara.

Menurutnya, arahan itu dikuatkuasakan susulan pihaknya mendapati banyak lorong-lorong tikus dikesan di sepanjang sempadan negara.

“Saya nak beritahu, di sepanjang sempadan negara kita ini banyak terdapat lorong-lorong tikus. Pendatang asing tanpa izin (PATI) biasanya bolos menerusi lorong-lorong ini.

“Jika kita tidak tingkatkan kawalan, mereka mungkin bolos dan membawa virus masuk ke negara kita. Na’uzubillah,” katanya. – Sinar Harian

Loading...