Rakyat Malaysia Selamat Tragedi Letupan Di Lubnan

KUALA LUMPUR – Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan semua rakyat Malaysia di Beirut, Lubnan terselamat daripada tragedi letupan gudang di negara itu malam tadi yang mengorbankan lebih 70 nyawa.

Hishammuddin berkata, kenyataan itu dibuat berdasarkan laporan awal daripada Perwakilan Malaysia yang berada di Beirut dengan semua rakyat Malaysia terlibat dinasihatkan agar kekal berada di rumah masing-masing.

“Laporan awal daripada Perwakilan Malaysia di Beirut, semua rakyat Malaysia di sana selamat dan telah dinasihatkan agar kekal berada di rumah masing-masing. #PrayForLebanon,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya hari ini.

Hishammuddin berkata, Malaysia turut bersedih di atas tragedi menggemparkan dunia itu dan sentiasa mendoakan rakyat Lubnan tabah berdepan ujian berkenaan.

Beliau menegaskan Malaysia akan berusaha memberi bantuan yang terdaya bagi meringankan beban ditanggung rakyat Lubnan.

“Malaysia juga bersedih dan sentiasa mendoakan rakyat Lubnan yang kita percaya amat tabah mendepani ujian ini.

“Insya-ALLAH, Malaysia akan bantu apa sahaja yang terdaya,” katanya.

Petang semalam, dua letupan kuat menggegarkan Beirut sehingga mengakibatkan kira-kira 78 orang dilaporkan terbunuh manakala ribuan yang lain cedera.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang (waktu tempatan), letupan dipercayai berlaku di pelabuhan menyebabkan kerosakan yang besar.

Sementara itu, Perdana Menteri Lubnan, Hassan Diab berkata, malapetaka besar itu dipercayai berpunca daripada simpanan 2,750 tan ammonium nitrat yang digunakan sebagai baja pertanian yang disimpan selama bertahun-tahun di sebuah gudang pelabuhan di Beirut dan meletup secara tiba-tiba.

Hassan berkata, bahan itu dihantar dengan menggunakan sebuah kapal dan disimpan di sebuah gudang sejak tahun 2013.

Siasatan awal pihak berkuasa menunjukkan ia kemungkinan satu kemalangan yang tragik dan sumber perisikan memberitahu Fox News semalam bahawa mereka tidak menafikan ada perbuatan khianat.

Susulan itu, Presiden Lubnan, Michel Aoun memanggil Kabinet untuk mengadakan mesyuarat tergempar bagi mengisytiharkan darurat di Beirut selama dua minggu. – Sinar Harian

Loading...