Rakyat Malaysia Parah Dalam Letupan Gunung Berapi New Zealand

KUALA LUMPUR – Seorang rakyat Malaysia dilaporkan cedera dalam letupan gunung berapi White Island, New Zealand, semalam.

Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan mangsa berada dalam keadaan kritikal dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Christchurch.

Mengenai seorang rakyat Malaysia yang dilaporkan terkorban dalam kejadian itu sebelum ini, Wisma Putra memberitahu Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington masih belum menerima sebarang maklumat lanjut berhubung perkara itu.

Menerusi kenyataan itu juga, pihak Wisma Putra menyarankan rakyat Malaysia yang terjejas atau berada di tempat kejadian supaya menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington di alamat 10, Washington Avenue, Brooklyn, P.O. Box 9422, Wellington 6021 New Zealand.

Mereka juga boleh menghubungi talian +64-4385 2439, +64-4801 5659 atau +64-210 440 188 (Kecemasan) atau E-mel:mwwellington@kln.gov.my

BH sebelum ini melaporkan, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Zealand mengesahkan seorang pelancong rakyat Malaysia maut dalam letupan gunung berapi White Island yang terletak di bahagian Pulau Utara negara itu.

Portal stesen televisyen negara New Zealand, tnz.com.nz, yang memetik kenyataan pegawai di pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia berkata, pihaknya masing menunggu laporan berhubung tragedi itu dan siasatan masih diteruskan.

Gunung berapi di White Island/Whakaari yang terletak di Bay of Plenty meletus sejak semalam dan pihak berkuasa tempatan melaporkan lima pelancong maut, manakala lapan lagi masih hilang. – BH Online

Loading...