Rakyat Malaysia Dinasihat Elak Zon Terlibat Bantahan Di India

PUTRAJAYA – Rakyat Malaysia yang tinggal atau bercadang untuk melancong ke India dinasihatkan supaya mengelak daripada berada di kawasan berlakunya bantahan serta mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa terlibat, kata Wisma Putra.

Ia berikutan bantahan awam yang dilaporkan di negara-negara Timur Laut, Bengal Barat, Uttar Pradesh, New Delhi, Jammu dan Kashmir.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini menasihatkan rakyat Malaysia yang tinggal atau berhasrat untuk pergi ke kawasan yang terjejas supaya berhati-hati dan memberi keutamaan kepada keselamatan diri mereka.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi di 50-M, Satya Marg Chanakyapuri 110021 New Delhi, hubungi +911124159300, +919319150306 (selepas waktu pejabat) dan e-mel mwdelhi@kln.gov.my.

Dilaporkan mahkamah India pada hari Rabu mengeluarkan notis kepada kerajaan persekutuan negara itu mengenai undang-undang kewarganegaraan baharu yang menimbulkan kontroversi dan mencetuskan bantahan besar-besaran di seluruh negara.