Rakyat Malaysia Di Bangladesh Akan Dibawa Pulang

KUALA LUMPUR – Wisma Putra akan membawa pulang 367 rakyat Malaysia yang terkandas di Bangladesh dengan penerbangan khas Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines) esok.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata jumlah termasuk 219 pelajar yang menuntut di Bangladesh dan 55 kakitangan Hospital Medan Malaysia di Cox Bazar itu, akan dibawa pulang menggunakan pesawat sewa khas jenis Airbus 332.

Hishammuddin berkata, 73 lagi adalah mereka menetap dan bekerja di Bangladesh termasuk ahli keluarga serta 20 penjawat awam dan ahli keluarga yang bertugas di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh.

“Daripada jumlah ini, seramai 270 orang sudah bersetuju dibawa pulang ke Malaysia dalam masa terdekat. Bagaimanapun, kerajaan meminta tujuh penjawat awam untuk kekal bertugas di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh.

“Buat masa ini, kerajaan Bangladesh sudah menyuarakan jaminan akan memberi kebenaran khas kepada pesawat khas ini untuk mendarat serta berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata, pihaknya menghormati dan berterima kasih kepada penjawat awam yang sanggup kekal di sana demi tugasan kepada negara.

Beliau berkata, kos bawa pulang ini juga akan ditanggung MIC.

“Saya amat berterima kasih kepada Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan MIC kerana tampil ke hadapan dan sanggup membantu Wisma Putra memudahcara urusan kepulangan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara.

“Terima kasih juga kepada Malaysia Airlines. Saya ingin menegaskan, Wisma Putra akan berkomunikasi dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membincangkan prosedur kuarantin sebaik sahaja mereka sampai di Malaysia,” katanya. – BH Online

Loading...