Thursday, April 18, 2024

Creating liberating content

Hasil Kutipan GST Diumum...

KUALA LUMPUR - Hasil kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) setakat ini akan...

Lepas Note 7, Samsung...

WASHINGTON DC - Samsung yang baru-baru ini menarik balik telefon pintar Note 7...

Pengarah Syarikat Didakwa Ambil...

LABUAN - Seorang pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari bagi...

‘Telefon Bimbit Kuno’ Cetus...

Vienna - Penemuan objek pelik tidak ubah seperti telefon bimbit kuno oleh pakar...

Rakyat Kedah Gembira Sultan Kedah Selamat Ditabal

ALOR SETAR – Rakyat jelata di negeri ini menzahirkan perasaan gembira setelah Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah selamat ditabal sebagai Sultan Kedah ke-29 hari ini.

Orang ramai memanfaatkan cuti peristiwa sempena hari pertabalan dengan tidak melepaskan peluang untuk menunggu di hadapan Istana Anak Bukit seawal 7.00 pagi bagi menyaksikan keberangkatan masuk Sultan dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff, menaiki kenderaan rasmi pada kira-kira 10.30 pagi ini.

Abu Hassan Ibrahim, 54, dan isterinya Bashirah Abu Bakar, 53, yang datang dari Kota Kuala Muda, sanggup datang seawal 8.00 pagi di hadapan Istana Anak Bukit bagi menunggu kehadiran baginda berdua bersama-sama lebih 100 rakyat yang lain.

“Umur mak cik dah 53 tahun, mak cik belum pernah tengok lagi istiadat macam ini, inilah kali pertama, mungkin tak sempatlah nak tengok yang akan datang,” kata Bashirah.

“Seronok sangat, teruja boleh tengok Tuanku, walaupun tak boleh masuk dalam tapi kami gembira, kita minta umur Sultan bagi panjang macam Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah,” kata Abu Hassan pula.

Sultan Sallehuddin hari ini selamat ditabal sebagai Sultan Kedah ke-29 dalam satu istiadat pertabalan yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Anak Bukit di sini dan kini bergelar Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Istiadat Pertabalan baginda itu juga berlangsung dalam suasana penuh tradisi dan adat resam Kesultanan Melayu Kedah selepas kali terakhir istiadat yang sama diadakan pada 1959, iaitu ketika Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ditabalkan sebagai Sultan Kedah Ke-28.


Sementara itu, Chong June Kitt, 22, dari Polimas Jitra berkata beliau gembira apabila Sultan Sallehuddin selamat ditabal hari ini dan mengharapkan Tuanku Sultan Kedah akan dikurniakan kesihatan yang baik untuk memerintah negeri ini.

“Hari ini saya datang mahu ambil gambar di hadapan istana…saya tak pernah tengok lagi wajah Sultan dan Sultanah lebih dekat,” katanya yang datang bersama rakannya, Oon Wei Yee, 24 tahun.

Bagi Norazizah Mat Desa, 25, beliau dan keluarganya mula tiba seawal 7.00 pagi kerana menyangkakan istiadat perarakan berlangsung hari ini.

“Kami ingatkan perarakan hari ini… jadi kami pun datang… tapi tak apa kami dapat juga tengok wajah baginda berdua..kami doakan Tuanku Sultan dan Sultanah panjang umur, dapat memerintah Kedah dengan baik,” katanya.

Setelah keberangkatan masuk baginda, orang ramai mula bergerak ke hadapan pintu masuk utama istana bagi mengabadikan kenangan sempena tarikh pertabalan Sultan Kedah ke-29 hari ini. – BERNAMA

Kategori