Rakyat Boleh Nilai Sendiri Prestasi Pakatan Harapan

KUALA TERENGGANU – Rakyat boleh menilai sendiri prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) sepanjang setahun mentadbir negara.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sehingga kini manifesto yang dijanjikan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) masih gagal ditunaikan.

“Setahun ini, rakyat boleh nilai bagaimana manifesto yang diwar-warkan, berapa peratus boleh dilaksanakan.

“Saya rasa mereka sendiri tak sangka mampu untuk melaksanakan manifesto itu,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam meraikan Rombongan Kerajaan Negeri Kelantan ke Terengganu di sini, malam tadi.

Yang hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Yahaya Ali; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub; Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan kedua-dua negeri.

Bagaimanapun, Abdul Hadi berkata, PAS menyambut baik keputusan kerajaan PH meneruskan projek-projek untuk manfaat rakyat seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan pembayaran royalti minyak sekali gus menyifatkan langkah tersebut sebagai janji yang mesti ditunaikan.

Katanya, PAS komited untuk melaksanakan segala janji PRU-14 di negeri-negeri yang diperintah.

“Apa yang penting negeri yang kami perintah kami laksanakan, sekadar kemampuan yang dapat.

“Kita laksanakan apa yang kita janji. Kita tak bertanggungjawab apa yang mereka (kerajaan PH) janji,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Loading...