Rakaman Suara Keluarga Bantu Usaha Jejaki Nora Anne

NILAI – Rakaman suara ahli keluarga rapat Nora Anne Quoirin akan dibuat bagi membantu mengesan remaja Ireland yang hilang ketika bercuti bersama keluarga di resort The Dusun, Pantai di sini Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Nilai, Supt. Mohd Nor Marzukee Besar berkata rakaman suara yang memuat naik nama panggilan manja Nora Anne oleh ahli keluarganya itu akan dimainkan melalui pembesar suara sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.

Usaha itu adalah strategi pihak berkuasa dalam usaha operasi mencari dan menyelamat yang masuk hari kelima hari ini yang diketuai Unit Senoi Praaq.

“Hari ini pegawai perhubungan kami akan bertemu keluarga mangsa dan menemu bual mereka untuk kami dapatkan suara siapa yang lebih rapat dengan Nora Anne.

“Selain daripada memainkan rakaman suara itu, anggota operasi juga akan memanggil nama Nora Anne sepanjang operasi…mungkin jeritan atau panggilan nama ini akan kejutkan mangsa,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Nor Marzukee meminta pihak yang memaklumkan ternampak Nora Anne bermain di persisiran sungai berhampiran kandang rusa di sini tampil untuk memberi maklumat.

“Semalam, pencarian turut meliputi kandang rusa dan persisiran sungai yang dikatakan Nora Anne ada bermain di situ. Kami gerak ke lokasi itu tapi tiada petunjuk dan hari ini kami akan ke kawasan sama untuk ulangi pencarian dengan lebih teliti,” katanya.

Polis katanya turut mengalu-alukan sebarang maklumat, cadangan termasuk usaha alternatif mengikut kepercayaan agama masing-masing bagi membantu usaha pencarian remaja berkenaan.

Beliau berkata operasi hari ini yang melibatkan 247 anggota turut dibantu helikopter Pasukan Gerakan Udara (PGU) yang ditambah dengan teknologi lebih canggih bagi tinjauan melalui udara selain penggunaan alat dron.

Ahad lepas, gadis Ireland yang mengalami masalah pembelajaran itu dilapor hilang selepas tiba bersama ibu bapanya dari London pada Sabtu untuk percutian dua minggu di resort The Dusun, Pantai, di sini.

Remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapannya oleh keluarganya pada pukul 8 pagi.