Rakaman CCTV Tertakluk Di Bawah Undang-Undang

KUALA LUMPUR – Sebarang rakaman video termasuk daripada kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan awam atau hak persendirian adalah tertakluk di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709).

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith, berkata penyebaran rakaman sedemikian adalah menjadi kesalahan di bawah akta berkenaan apabila pemiliknya berdaftar dengan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP).

“Berkenaan kandungan CCTV seperti itu (termasuk rakaman hotel) tertakluk kepada perlindungan data peribadi, yang mana pihak pengurusan hotel perlu berdaftar dengan JPDP supaya maklumat semua rakaman itu dilindungi,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff yang ingin tahu adakah penyebaran video daripada rakaman CCTV atau hak persendirian seperti premis hotel juga dikira sebagai kesalahan di bawah akta berkenaan.

Mengenai kesalahan mengikut akta itu, Eddin Syazlee berkata JPDP menerima 680 aduan daripada subjek data bagi 2018 dengan 46 peratus kes diselesaikan dan ditutup.

“Jenis kesalahan paling kerap diterima pula ialah aduan berkaitan pelanggaran tujuh prinsip perlindungan data peribadi terutamanya prinsip am, penzahiran dan keselamatan.

“Golongan pengguna data yang merekodkan aduan tertinggi adalah golongan institusi perbankan dan insurans serta aduan berkaitan penzahiran data peribadi kepada pihak ketiga tanpa kebenaran (ejen pengutip hutang) dan pemasaran langsung,” katanya.

Beliau berkata, Akta 709 itu penting dalam meletakkan Malaysia sebagai salah sebuah negara di dunia yang menguatkuasakan perundangan mengenai perlindungan data peribadi seperti United Kingdom, Kesatuan Eropah, Kanada, New Zealand, Australia, Macau, Hong Kong, Jepun, Singapura dan Thailand.

Loading...