Raja Salman Agih 20,000 Al-Quran, Terjemahan Seluruh Malaysia

KUALA LUMPUR – Pejabat Penasihat Islam Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur bakal mengagihkan sejumlah 20,000 naskhah al-Quran dan terjemahannya hasil sumbangan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud pada tahun ini ke seluruh Malaysia.

Atase Agama Kedutaan Arab Saudi di sini, Syaikh Abdul Rahman Ibrahim Al-Rubai’an, berkata pemberian tahunan Raja Salman itu adalah penghargaan dan kasih baginda kepada rakyat Malaysia, selain keprihatinannya terhadap keperluan umat Islam di seluruh dunia selari dengan tanggungjawab sebagai Penjaga Dua Kota Suci Makkah dan Madinah.

Beliau berkata pengagihan al-Quran cetakan Kompleks Percetakan Al-Quran Raja Fahd di Madinah itu, meliputi pelbagai saiz dan terjemahan beberapa bahasa utama di Malaysia termasuk Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.

“Naskhah Bahasa Melayu diterjemahkan khas dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Sasaran pengagihan itu adalah kepada badan kerajaan berkaitan hal ehwal Islam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, maahad tahfiz dan sekolah agama yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata setakat ini, pihaknya sudah mempersembahkan kepada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail sejumlah 300 naskhah al-Quran bersempena Majlis Penutup Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Perlis Tahun 2020 baru-baru ini.

Syaikh Abdul Rahman berkata, pada majlis itu Tuanku Syed Sirajuddin merakamkan penghargaan kepada Raja Salman dan Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur atas sumbangan yang diberikan kepada negeri baginda.

Beliau berkata sejumlah 500 naskhah al-Quran juga sudah diagih kepada pelajar tahfiz di Kelantan melalui Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob pada Majlis Graduasi Tahfiz ke-10 Yayasan Islam Kelantan.

Loading...