‘Raja Risik’: Pernah Gerunkan Tentera Indonesia

Oleh: Datuk Akmar Hisham Mokhles

DI kalangan perisik tempatan dan antarabangsa terutama di rantau ini, nama dan wajah lelaki ini bukanlah sesuatu yang asing.

Malah pemegang Ijazah Sarjana Pengajian Strategik Universiti Lancaster ini turut dikenali sebagai antara
penganalisis isu-isu keselamatan yang berwibawa lebih-lebih lagi dengan pengalamannya sebagai bekas Pengarah Perisikan Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Walaupun begitu, tidak ramai yang berjaya mencungkil 1,001 pengalaman menarik yang pernah ditempuhinya sepanjang menjadi perisik tentera terutama dalam operasi membanteras pemberontakan komunis.

“Biarlah pengalaman itu terkunci rapat dalam diari hidup saya. Ia bukan untuk diceritakan kepada sesiapa,’’ kata Leftenan Jeneral (B) Datuk Raja Abdul Rashid Raja Badiozaman dalam pertemuannya dengan penulis baru-baru ini.

Biarpun dianggap sebagai seorang yang kuat berahsia, namun beliau akhirnya akur dengan pujukan penulis untuk berkongsi secebis daripada pengalamannya. Bagaimanapun, ia terbatas kepada kisah di awal pembabitannya dalam dunia ketenteraan.

Menurut Raja Abdul Rashid, minatnya terhadap tentera berputik sejak kecil lagi di waktu Jepun masih menjajah Tanah Melayu.

“Ketika berusia lima tahun, saya sering pergi ke sebuah kem Tentera India di Kuala Kangsar yang terletak tidak jauh dari rumah saya. Saya suka lihat mereka berkawad dan berbaris dengan pakaian yang kemas,’’ katanya.

Selain itu, beliau turut terpengaruh dengan filem-filem perang yang banyak ditayangkan pada waktu itu yang memaparkan unsur-unsur heroisme di samping geram dengan keganasan yang dilakukan pengganas komunis.

Ekoran itu, beliau akhirnya memohon memasuki Maktab Tentera Diraja (MTD) di Port Dickson pada tahun 1961 walaupun ketika itu telah bekerja sebagai guru di Tapah Secondary English School serta menjadi penjaga gol utama pasukan hoki Perak.

Sewaktu di MTD, Raja Abdul Rashid tetap aktif dalam bidang sukan terutama hoki, ragbi dan bolasepak. Kehebatannya sebagai penjaga gol telah membolehkannya terpilih mewakili MTD dalam pertandingan hoki yang diadakan.

Biarpun begitu, apa yang paling membanggakannya ialah terpilih sebagai pegawai kadet terbaik ketika majlis tamat latihan dengan dianugerahkan ‘First Order of Merit’ pada tahun 1962.’ Selepas itu, Raja Abdul Rashid telah ditempatkan di Kompeni B, Batalion Keempat Rejimen Askar Melayu Diraja (4 RAMD) yang ketika itu terletak di Mentakab, Pahang.

Konfrontasi

Setahun selepas itu, Raja Abdul Rashid dan batalion yang disertainya berpindah ke Kem Majidee, Johor Bahru.

“Tidak lama selepas itu tercetus konfrantasi Malaysia-Indonesia sehingga menyebabkan kami terpaksa bertungkus lumus mengekang penyusupan Tentera Indonesia,’’ katanya.

Disebabkan konfrantasi juga, pasukannya telah dihantar ke Sarawak pada tahun 1964 bagi membantu British menentang Tentera Indonesia menggantikan 5 RAMD.

“Masa itu saya telah dilantik sebagai Pegawai Risik Batalion menggantikan Leftenan Hashim Mohd. Ali dan ditempatkan di Serian.

“Di situlah, kemampuan saya mula teruji kerana terpaksa melakukan tugas risikan secara bersendirian selama enam bulan,’’ katanya.

Pada satu malam, kompeni yang dipimpin Raja Abdul Rashid telah diserang oleh Tentera Indonesia, namun serangan itu berjaya dipatahkan tanpa ada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa di pihak mereka.

“Malah kami berjaya membunuh dua Tentera Indonesia yang didapati cuba menyusup ke negara kita,’’ katanya.

Selepas pertempuran itu, Tentera Indonesia tidak berani lagi menyerang kedudukan kompeni 4 RAMD.

Sebaliknya mereka menukar taktik dengan mengedarkan risalah secara senyap meminta semua Askar Melayu tidak menjadi boneka penjajah Inggeris.

“Apabila mendapat risalah itu, saya terus menghantarnya kepada pegawai British memandangkan kami berada di bawah Briged Barat Tentera British. Sebaik terbaca risalah itu, saya lihat pegawai British mula curiga terhadap kami. Malah mereka turut hairan kenapa pasukan kami amat jarang diserang musuh sedangkan Askar Gurkha begitu teruk diserang,’’ katanya. Disebabkan itu, kompeni mereka telah ditukar ke Sibu selama tiga bulan.

Selepas tiga bulan di situ tanpa pernah diserang Tentera Indonesia, mereka kembali ke Kem Majidee pada penghujung tahun 1964. Di Johor, mereka terpaksa berhadapan dengan cabaran getir apabila menerima berita ramai Tentera Indonesia telah mendarat di Pontian dan Kota Tinggi.

“Masa itu tidak kira siang atau malam, kami terpaksa melakukan operasi memburu mereka. Dalam masa empat hari operasi kami akhirnya berjaya membunuh serta menangkap seramai 28 Tentera Indonesia,’’ katanya sambil memberitahu mereka telah menerima ucapan tahniah dari Menteri Pertahanan, Tun Abdul Razak di atas kejayaan tersebut. Apa yang menggembirakan Raja Abdul Rashid ialah beberapa hari selepas itu, beliau dinaikkan pangkat kepada Leftenan.

Menyerang

Biarpun begitu, tugas mereka mengekang penyusupan Tentera Indonesia masih belum selesai. Cabaran paling getir akhirnya hadir pada bulan April dan Mei 1966 apabila 27 Tentera Indonesia dilaporkan telah mendarat di Penggerang, Johor dan bersembunyi di atas sebuah bukit yang terdapat kubu pertahanan Tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Bagi tujuan menghapuskan musuh, 4 RAMD telah meminta bantuan tembakan meriam dari Tentera British ke atas bukit itu.

“Selepas itu barulah kami naik ke atas bukit dan membuat serangan. Dalam serangan itu, kami berjaya membunuh dua daripada musuh, 13 menyerah diri atau ditangkap termasuk ketua mereka, Leftenan Titali manakala 12 yang lain berjaya melepaskan diri,’’ katanya sambil memberitahu kejayaan itu diraih tanpa ada seorangpun anggotanya yang cedera atau terbunuh.

Masa itu tidak kira siang atau malam, kami terpaksa melakukan operasi memburu mereka. Dalam masa empat hari operasi kami akhirnya berjaya membunuh serta menangkap seramai 28 Tentera Indonesia.

Disebabkan ada musuh terlepas, Pegawai Memerintah 4 RAMD, Leftenan Kolonel Esa Ahmad telah mengarahkan anggota pasukannya memburu saki-baki musuh.

Bagi tujuan itu, mereka telah membuat kepungan di sekitar kawasan paya tidak jauh dari bukit tersebut selama dua minggu dengan dibantu oleh Pasukan Polis Hutan (PPH). Turut membantu ialah kumpulan penjejak Iban dan anjing pengesan.

Suatu malam ketika sedang meronda bersama satu seksyen dari markas batalion dengan dibantu penjejak Iban, tiba-tiba Raja Abdul Rashid terdengar bunyi air berkocak di satu kawasan paya.

“Ketika itu saya percaya satu kumpulan musuh telah terlepas dari kepungan kami. Kemudian dengan pantas saya naik ke atas Land Rover dan melepaskan tembakan Mesingan Ringan (LMG) ke arah kawasan paya dan bendang berhampiran selepas menghantar laporan ke markas. Selepas selesai tembakan, tiada apa yang kedengaran. Sama ada tembakan balas musuh atau suara orang mengerang kesakitan,’’ ujar beliau.

Melihat keadaan itu Raja Abdul Rashid hampa. Bahkan, beliau percaya tugas mereka selepas ini akan menjadi lebih sukar lagi memandangkan musuh telah bolos dari kepungan.

Malam itu juga beliau pulang ke kem sambil berdoa esok dan hari-hari mendatang akan memberi tuah kepadanya.

Esoknya, tanpa diduga 12 Tentera Indonesia yang diburu menyerah diri kepada anggota PPH yang berkawal tidak jauh dari kawasan paya berkenaan.

“Saya dapat tahu mereka menyerah diri kerana ketakutan selepas menyangka tembakan yang saya lepaskan pada malam itu adalah tembakan dari kereta perisai. Mereka juga ingat kami sedang bersiap sedia untuk menggempur mereka dengan kereta perisai. Kerana itu mereka menjadi takut sekali dan membuat keputusan menyerah diri. Padahal tidak ada satupun kereta perisai di situ,’’ ujarnya yang terasa lucu apabila teringat semula peristiwa tersebut.

Tidak lama selepas kejayaan itu, Raja Abdul Rashid dinaikkan pangkat kepada Kapten dan ditukarkan ke Markas 4 Briged di Fort Canning, Singapura. Dari situ, kerjayanya dalam dunia perisikan yang penuh dengan cabaran terus meningkat termasuk melakukan operasi di luar negara. Beliau bersara pada 17 Julai 1995 dan kini sibuk menguruskan perniagaan sendiri di samping gemar bermain golf pada masa lapang. – MYNEWSHUB.CC

*Petikan dari buku ‘Demi Negara’ tulisan Datuk Akmar Hisham Mokhles (gambar). Beliau juga adalah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.