Raja-Raja Melayu Mahu Mekanisme Semak, Imbang Dihormati

KUALA LUMPUR – Raja-raja Melayu berpendirian mekanisme semak dan imbang antara pelbagai cabang kerajaan perlu dihormati dan peranan Yang di-Pertuan Agong untuk mengimbangkan pelbagai tuntutan adalah penting demi menjamin berlakunya keadilan dan membatasi sebarang unsur penyalahgunaan kuasa.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja malam ini, Raja-raja Melayu turut menegaskan pentingnya prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen diterjemahkan melalui budaya pemerintahan yang meluhurkan Perlembagaan Negara dan mendaulatkan undang-undang serta mengutamakan kebajikan rakyat jelata.

Berikut adalah kenyataan penuh yang dikeluarkan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad selepas pertemuan Raja-raja Melayu dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah di Istana Negara, Kuala Lumpur petang tadi:

Menyambut undangan Kebawah Duli yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Raja-raja mengadakan perjumpaan bersama Seri Paduka Baginda pada hari Ahad, 8 Rabiul Awal 1442, bersama 25 Oktober 2020 bertempat di Istana Negara, Kuala Lumpur. Perjumpaan dihadiri oleh:

  1. DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
  2. DYMM Sultan Terengganu
  3. DYMM Raja Perlis
  4. DYMM Sultan Selangor
  5. DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan
  6. DYMM Sultan Johor
  7. DYMM Sultan Perak
  8. DYMM Sultan Kedah
  9. DYMM Pemangku Raja Pahang

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memaklumkan kepada Raja-raja akan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang pada 23 Oktober 2020, memohon perkenan Seri Paduka Baginda untuk mengisytiharkan darurat berdasarkan Perkara 150 Perlembagaan Malaysia.

Berpandukan prinsip raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen, di samping memahami keseriusan implikasi daripada permohonan tersebut terhadap imej negara, pandangan dunia antarabangsa, keyakinan para pelabur dari luar dan dalam negara serta aspek kemakmuran negara dan kehidupan rakyat jelata, baginda dengan kearifan dan bijaksana berpendirian amat penting untuk perkara tersebut dibincangkan secara bersama dengan Raja-raja Pemerintah.

Raja-raja Pemerintah menzahirkan penghargaan pada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas sifat Seri Paduka Baginda memilih melakukan rundingan dan konsultasi sebelum memberikan sebarang perkenan dan menzahirkan apa-apa keputusan menyentuh perkara yang sangat penting.

Semangat tersebut adalah selaras dengan budaya syura yang sangat dianjurkan Islam ketika ummah menghadapi sesuatu persoalan yang memerlukan penyelesaian.

Dalam perjumpaan tersebut Raja-raja telah mencambahkan pandangan dan menzahirkan pendapat secara terbuka dan berterus terang dalam semangat saling menghormati, agar dapat dijadikan bahan panduan dan rujukan, membantu Seri Paduka Baginda membuat ketetapan.

Raja-raja berpendirian pentingnya dihormati mekanisme semak dan imbang antara pelbagai cabang kerajaan dan peranan Seri Paduka Baginda untuk mengimbangkan pelbagai tuntutan demi menjamin berlakunya keadilan dan membatasi sebarang unsur penyalahgunaan kuasa.

Raja-raja turut menegaskan pentingnya prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen diterjemahkan melalui budaya pemerintahan yang pada setiap masa meluhurkan Perlembagaan Negara dan mendaulatkan undang-undang dan mengutamakan kebajikan rakyat jelata.

Kenyataan media ini dikeluarkan dengan titah perkenan Raja-raja. – BERNAMA

Loading...