Raja Permaisuri Agong Dimasyhurkan Canselor UCYP

KUANTAN – Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dimasyhurkan sebagai Canselor Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) pada istiadat pemasyhuran yang berlangsung di sini hari ini.

Pengerusi Lembaga Pengelola UCYP, Tan Sri Dr. Noorul Ainul Mohd. Nur mempersembahkan watikah pemasyhuran itu kepada Tunku Azizah, yang turut dianugerahkan dengan Ijazah Doktor Kehormat Seni Kreatif.

Tunku Azizah dalam titah baginda menzahirkan rasa bangga kerana diamanahkan untuk bergelar canselor sebuah institusi pengajian tinggi yang sudah bertapak di Pahang sejak 27 tahun lalu.

Baginda menambah, mahu melihat UCYP yang setakat ini telah melahirkan hampir 30,000 graduan terus berusaha untuk menjadi pusat pendidikan yang unggul dan menyediakan pembelajaran berkualiti, selari dengan perkembangan masa.

“Saya difahamkan majoriti pelajar di UCYP merupakan pelajar yang datang daripada golongan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana. Malah ada juga daripada masyarakat Orang Asli.

“Saya sungguh terharu dengan kesungguhan ibu bapa yang walaupun mempunyai kesukaran kewangan, namun tetap berusaha memberikan pendidikan terbaik untuk anak-anak,” titah baginda.

Sehubungan itu, Tunku Azizah mencadangkan penubuhan tabung atau dana pendidikan khusus untuk membantu pelajar yang memerlukan bantuan kewangan bagi menampung sedikit sebanyak perbelanjaan seharian mereka.

Raja Permaisuri Agong bertitah, agensi kerajaan, swasta dan individu berkemampuan juga diharapkan dapat menyumbang kepada tabung itu sebagai usaha bersama dalam pembangunan pendidikan generasi masa depan.

“Saya juga ingin menyeru kepada graduan supaya menyokong secara aktif dalam kelab alumni UCYP. Graduan seharusnya membantu universiti ini baik dari segi kewangan mahupun pemikiran supaya UCYP bertambah maju dan membangun lebih pesat.

“…ini seterusnya memastikan kecemerlangan yang dicapai universiti akan terus terpelihara. Diharapkan graduan yang keluar dari kampus ini bakal menjadi rebutan kerana kelayakan yang diperoleh adalah relevan dengan keperluan industri dan masyarakat kini,” titah baginda.

Pada istiadat itu, Tunku Azizah juga berkenan menyempurnakan penyampaian watikah pelantikan Pro-Canselor UCYP kepada anakanda baginda Mejar Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Loading...