Rafizi Ramal Kerjasama UMNO, PAS Tidak Kekal Lama

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli meramal kerjasama ummah antara UMNO dan PAS tidak akan bertahan dalam tempoh yang lama meskipun diperkuat menerusi Himpunan Penyatuan Ummah. 

Rafizi berkata, ini kerana, mereka turut memecah belah ummah dengan saling kafir-mengkafir selepas kegagalan kerjasama kedua-dua parti Melayu Islam itu pada tahun 1980-an.

“Seperti juga ‘perkahwinan’ UMNO-PAS yang lepas, kerjasama kali ini juga akan terburai. Hanya tunggu masa kerana mereka tidak tahu siapa yang suami dan siapa yang isteri dalam perkahwinan itu.

“Apabila strategi politik ini tidak menjadi dan mereka berbalah, mereka akan kembali kafir-mengkafir seperti dulu,” katanya menerusi hantaran dalam akaun Facebook miliknya hari ini.

Sekitar tahun 1970-an, Pas pernah menjalinkan kerjasama dengan UMNO, bagaimanapun tidak mampu bertahan dan pada ketika itu juga, PAS menyifatkan UMNO sebagai parti ‘kafir’. – UTUSAN ONLINE