Rafizi Menang Pemilihan Cabang Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli memperoleh 178 undi sekali gus menewaskan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menerima 120 undi dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR bagi peringkat cabang Kuala Terengganu, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi PKR negeri, Azan Ismail berjaya mempertahankan jawatan sebagai ketua cabang Kuala Terengganu apabila menewaskan dua pencabarnya, Md Shuhaimi Ismail dan Mohd Alfaizal Amjed.

Azan memperoleh 180 undi, Md Suhaimi (14) dan Mohd Alfaizal mendapat 99 undi.

Pada pemilihan cabang PKR di Marang, penyandang ketuanya, Alias Yusof gagal mempertahankan jawatan selepas mendapat 33 undi seterusnya tewas kepada calon baharu, Ahmad Sabri Mamat yang memperoleh 81 undi.

Ketua Penyelaras Pemilihan PKR negeri, Amri Awang ketika dihubungi, hari ini, mengesahkan keputusan itu dan proses penjumlahan undi dilakukan oleh Ketua Pengurus Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) disaksikan semua calon yang bertanding.

Katanya, keputusan penuh pemilihan jawatankuasa pusat dan negeri di enam lagi cabang iaitu Kemaman, Besut, Hulu Terengganu, Dungun, Setiu dan Kuala Nerus akan diketahui selewat-lewatnya jam 9 malam ini.

“Keputusan rasmi pemilihan semua jawatankuasa parti di peringkat pusat dan negeri akan dimuat naik melalui laman sesawang Pemilihan PKR 2018 selepas semua keputusan diperolehi,” katanya. – BH Online

Loading...