Rafizi Kata Trump Punca Ekonomi Malaysia ‘Sakit’

REMBAU – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mendedahkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump punca ekonomi Malaysia sedang ‘sakit’ ketika ini.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, ekonomi Malaysia ‘sakit’ bukan disebabkan pentadbiran kerajaan PH pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad, tetapi disebabkan Presiden AS yang cakap berbelit-belit.

“Ekonomi satu dunia jatuh. Bukan saja pasaran saham Malaysia jatuh, Asia dan Eropah juga jatuh. Semalam Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) beritahu pertumbuhan ekonomi India paling teruk dalam tempoh 20 tahun.

“Ada sebabnya? Salah satu sebabnya Presiden AS kurang betul sikit. Akal tak betul. Hari ini cakap kanan, esok cakap kiri. Bila kita ada Presiden AS macam itu, ekonomi jadi goyang,” katanya pada ceramah umum PH sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dekat sini, malam tadi.

Turut hadir barisan pimpinan tertinggi PH termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Min.

Rafizi berkata, pertumbuhan ekonomi China berdepan masalah turut mengundang masalah ekonomi kepada Malaysia kerana China kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia.

Justeru, katanya, beliau mahu memberitahu kepada orang ramai yang mendakwa PH telah menipu rakyat bahawa Malaysia sebenarnya sedang ‘sakit’ disebabkan isu seperti itu dan sedang ‘berubat’.

“Kalau Malaysia sedang ‘sakit’ dan kita nak berubat, adakah kita cari Rosmah (Datin Seri Rosmah Mansor) atau kita nak cari dua doktor iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail,” katanya.

Tambahnya, beliau juga yakin Mahathir dan Wan Azizah akan berterus terang jika Malaysia tiada wang berbanding zaman pentadbiran kerajaan BN yang bertindak seperti seorang ‘bomoh’.

“Zaman UMNO BN masalah utama mereka bukan ‘doktor’, tetapi ‘bomoh’. Kalau sakit jumpa Mat Hasan (Datuk Seri Mohamad Hasan) dan Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) tanya pasal ekonomi mereka akan cakap ekonomi bagus,” katanya. – K! ONLINE

Loading...