Radzi, 3 Ahli Dewan Negara Angkat Sumpah

KUALA LUMPUR – Datuk Dr Radzi Jidin dan tiga lagi Senator mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara di Parlimen hari ini, sekali gus khidmatnya sebagai Senator dilanjutkan tiga tahun lagi sehingga 16 Julai 2024.

Tiga lagi Senator yang mengangkat sumpah masing-masing dua daripada BERSATU dan seorang mewakili GERAKAN.

Dua daripadanya adalah lantikan semula, iaitu Datuk John Ambrose (BERSATU) dan Datuk Teo Eng Tee (GERAKAN), manakala seorang lagi, Datuk Bobbey Suan Ah Fang (BERSATU), lantikan baharu selepas dipilih Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Mereka mengangkat sumpah di hadapan Yan Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Mohd Rais Yatim.

Radzi yang juga Menteri Pendidikan, pertama kali dilantik sebagai Senator pada 17 Julai 2018 dan khidmatnya tamat pada Jumaat lalu sebelum dilanjutkan hari ini, dengan tarikh pelantikan semula itu berkuat kuasa pada Sabtu lalu.

Naib Presiden BERSATU itu pernah bertanding merebut kerusi Parlimen Ketereh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada tahun 2018 mewakili Pakatan Harapan (PH), namun tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) dari UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Susulan kemenangan PH dalam PRU-14, Radzi dilantik sebagai Senator untuk diangkat sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, sebelum dilantik sebagai Menteri Kanan Pendidikan di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, pelantikan John berkuat kuasa pada 16 Januari lalu, manakala lantikan Eng Tee bermula hari ini dan lantikan Bobbey pula berkuat kuasa 5 Januari lalu.

Dalam pada itu, Rais dalam ucapannya berkata, pelantikan itu yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong, memberi peluang baharu untuk mereka menabur bakti dan sumbangan kepada bangsa serta negara.

Beliau berharap, keempat-empat Senator itu akan menyumbang ke arah mempertingkatkan mutu perdebatan di Dewan Negara dan mengangkat demokrasi berasaskan keperibadian tinggi serta pemikiran terbuka serta rasional.

“Saya percaya pematuhan Ahli Yang Berhormat kepada lunas keperibadian yang mulia dan berketerampilan akan membantu memperkasakan imej Parlimen sebagai sebuah institusi perundangan berwibawa serta disanjung tinggi di persada antarabangsa.

“Saya mendoakan Ahli Yang Berhormat mendukung visi rakyat ke arah membina sebuah negara maju dan progresif dalam semua aspek pembangunan,” katanya. – BH Online