Friday, March 29, 2024

Creating liberating content

Pasca-Brexit: David Cameron Umum...

LONDON - Perdana Menteri Britain, David Cameron mengumumkan peletakan jawatan beliau pada Oktober depan,...

KDN Warta Larangan Empat...

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengingatkan semua pihak kerajaan telah mengenakan...

Stesen Penyimpanan Gas Asli...

TAIPING - Sebuah stesen penyimpanan gas asli jenis mercaptancs di Kampung Setia dekat...

Libaran Lokasi Pertama UMNO...

SANDAKAN - Seramai 2,000 orang daripada golongan tidak berkemampuan dan pelajar di Bahagian...

PWTC, Simbol Perjuangan Politik Orang Melayu

KUALA LUMPUR – Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang berdiri kukuh sejak 31 tahun lalu dan menjadi lokasi Perhimpunan Agung UMNO saban tahun, adalah lambang perpaduan dan simbol perjuangan politik orang Melayu.

Lembaran sejarah PWTC bermula pada 1971 sewaktu Perhimpunan Agung UMNO membuat keputusan untuk membina bangunan ibu pejabat baharu, menggantikan bangunan lama empat tingkat yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman (ketika itu dikenali sebagai Batu Road).

Projek berkenaan diterajui oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman dan dana khas ditubuhkan bagi membiayai pembinaan bangunan baharu itu.

Setahun kemudian, UMNO membeli empat hektar tanah di Jalan Tun Ismail. Lebih RM3 juta berjaya dikumpulkan hasil sumbangan daripada Parti Berjaya Sabah dan penderma individu.

Pada tahun sama, Tun Hussein Onn yang ketika itu merupakan timbalan perdana menteri mengambil alih perancangan projek berkenaan. Hussein, yang dilantik sebagai perdana menteri ketiga pada 1976, kemudiannya menyerahkan tanggungjawab berkenaan kepada Bendahari UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yang ketika itu juga sebagai menteri kewangan.

Pada 1979, Majlis Tertinggi UMNO akhirnya bersetuju dengan reka bentuk PWTC bercirikan Islam dan Melayu yang direka oleh arkitek, Datuk Hisham Al-Bakri.

Bersempena 35 tahun kewujudan UMNO, pada tanggal 25 Jun 1981, upacara meletakkan batu asas kompleks ibu pejabat UMNO dilaksanakan. Ia merupakan hari kedua terakhir Hussein sebagai perdana menteri sebelum melepaskan jawatan tersebut kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

PWTC, Simbol Perjuangan Politik Orang Melayu

Kompleks ibu pejabat UMNO, yang menjadi mercu tanda baharu ibu negara, siap dibina pada 1985. Dinamakan PWTC bersempena nama perdana menteri pertama yang juga Bapa Kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Visi Hussein untuk PWTC, bukan sahaja berfungsi sebagai penyatu orang Melayu dan simbol perjuangan UMNO, tetapi juga untuk melihat PWTC menjadi pentas konvensyen antarabangsa yang agung.

“Kemudahan ini bukan sahaja boleh menempatkan perhimpunan agung kita, tetapi membolehkan persidangan besar diadakan khususnya persidangan antarabangsa… kompleks ini juga akan menjadi sumber pendapatan bagi parti.

“PWTC merupakan satu sumbangan untuk meningkatkan kedudukan negara sebagai tumpuan konvensyen antarabangsa…tumpuan masyarakat antarabangsa terhadap negara bukan sahaja menjadi sumbangan kepada industri pelancongan tetapi akan meningkatkan pengetahuan masyarakat antarabangsa mengenai negara dan cara hidup kita,” kata Hussein dalam ucapan perasmian meletakkan batu asas itu.

PWTC, yang menjadi pusat konvensyen utama, menghimpun pelbagai detik sejarah dan menjadi lokasi konvensyen utama bertaraf antarabangsa termasuk acara pertamanya, persidangan Persatuan Pengembaraan Pasifik Asia (PATA) pada 1986.


Selain itu, PWTC juga menjadi venue pilihan antaranya untuk Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel 1989 yang dihadiri Ratu Elizabeth II, persidangan kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) 2003, Tilawah al-Quran Antarabangsa (sejak 1985) serta pelbagai acara hiburan berprestij.

Sebelum 1956, UMNO tidak mempunyai bangunan sendiri dan terpaksa menjalankan persidangan agungnya di merata tempat termasuklah di kelab dan hotel di serata negara.

Dalam pada itu, Tengku Razaleigh, yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Bangunan dan Pembinaan Kompleks ketika itu, dalam ucapannya berkata UMNO mengambil masa 10 tahun untuk proses membeli tanah dan menyediakan asas kewangan yang kukuh untuk membiayai projek bangunan berkenaan.

“UMNO berpegang teguh kepada dasar berdikari, berkecukupan sendiri dan berkeupayaan menyelenggara dan mentadbir kompleks yang begini besar…ia sebuah kompleks bangunan termoden dari aspek susunan dan ikatan batu bata yang rapi… di sini kita abadikan kekuatan dan ketahanan UMNO yang kita lahirkan pada 1946 dan hasrat serta cita-cita orang Melayu untuk meningkatkan lagi kemajuan dan kesejahteraan hidup dunia dan akhirat.

“Tujuan membina bangunan yang besar dan mahal ini bukanlah untuk berbesar hati atau menandingi bangunan lain tetapi untuk mendapat faedah yang maksimum,” katanya dalam ucapan pada 1981 itu.

Dalam ucapannya juga, Tengku Razaleigh menyatakan bahawa pembinaan kompleks itu dianggarkan menelan belanja antara RM160 juta hingga RM200 juta itu adalah satu kemajuan untuk orang Melayu.

Sementara itu, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata PWTC dibina dengan ciri futuristik dan bersesuaian dengan zaman ini meskipun ia dibina lebih 30 tahun lalu.

“Perancangan awal yang dibuat pemimpin terdahulu mungkin telah menjangkakan akan menggunakan teknologi baharu… maksudnya arkitek dahulu yang lakarkan pembinaan bangunan ini telah fikirkan penyesuaian untuk menerima teknologi baharu.

“Apabila kita mahu mempertingkat kualiti sistem komunikasi dan memasang kabel fiber optik misalnya, kita tidak perlu ubah balik… keseluruhan menara bangunan ini sebenarnya masih boleh dilakukan… itu kelebihan bangunan ini,” katanya sambil menambah, bangunan PWTC akan dijadikan bangunan Kelas ‘A’ pada masa depan.

Katanya PWTC merupakan lokasi terbaik untuk menjalankan apa jua acara lintas langsung memandangkan sistem teknologi tercanggih audio dan visual yang digunakannya, meskipun ia bangunan lama. – BERNAMA

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori