Putus Cinta, Lelaki Meluru Naik Pelamin

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dipercayai mengalami tekanan jiwa akibat putus cinta mencetuskan suasana panik apabila meluru ke ruang majlis akad nikah di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), di sini pagi tadi.

Lelaki itu dikatakan mengambil tempat duduk di pelamin sambil berzikir serta mengaji dengan kuat.

Situasi itu dikongsikan JAWI menerusi Twitter @myJAWIKL yang menunjukkan dua pengawal keselamatan sedang memujuk lelaki itu dengan penuh hikmah.

“Allahu. Ini kisah benar, bukan rekaan ataupun imaginasi novel cinta. Seorang pemuda tidak semena-mena, tidak berkasut, memasuki ruang majlis akad nikah di JAWI pagi ini, terus duduk di pelamin, berzikir dan mengaji dengan kuat.

“Syukur, pihak keselamatan dapat tangani dengan hikmah. Difahamkan pemuda ini mengalami tekanan perasaan akibat putus cinta. Kami doakan mudah-mudahan Allah berikan kesembuhan, jalan keluar, dan kemudahan kepada pemuda tersebut menghadapi ujian berat di dalam hidupnya,” menurut Twitter berkenaan.

Sehingga jam 3 petang, ciapan itu mendapat twit semula daripada lebih 1, 900 pengguna yang rata-rata bersimpati dengan nasib dilalui lelaki berkenaan. – BH Online