Putrajaya Catat Rt COVID-19 Tertinggi Semalam

KUALA LUMPUR – Kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 pada jangkaan mengikut kes harian semalam terus menyaksikan peningkatan dengan Putrajaya mencatatkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.28 berbanding purata kebangsaan 1.09.

Menerusi data dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di laman sosial malam tadi, kebanyakan negeri mencatatkan Rt melebihi nilai 1.0 manakala empat negeri mencatat nilai bawah satu selain Perlis merekodkan satu kes.

Katanya, purata kebangsaan semalam menyaksikan peningkatan sebanyak 0.2 berbanding 1.07 yang dicatatkan kelmarin.

Selain Putrajaya, kebanyakan negeri turut mencatatkan Rt melebihi purata kebangsaan. Perak mencatatkan nilai Rt 1.18, manakala Kuala Lumpur (1.16), Selangor (1.14) dan Pahang 1.10).

Negeri yang melepasi Rt 1.0 pula ialah Kedah (1.08), Sabah dan Pulau Pinang masing-masing 1.07, Melaka (1.06), Terengganu (1.04) dan Negeri Sembilan (1.02).

Empat negeri di bawah 1.0 ialah Labuan dan Sarawak masing-masing mencatatkan 0.86, Kelantan (0.90) serta Johor (0.96).

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan kes COVID-19, iaitu berapa ramai boleh dijangkiti oleh satu kes positif. – BH Online