Putera William Bersama Keluarga Lawat Kanada

TORONTO – Pewaris takhta Britain, Putera William, bersama-sama isteri, Kate Middleton, tiba di Kanada pada Sabtu sempena lawatan rasmi kedua mereka, dan disambut Perdana Menteri, Justin Trudeau, di lapangan terbang tentera di British Columbia.

Pasangan yang memakai gelaran Duke dan Duchess of Cambridge itu membawa bersama dua anak mereka, Putera George, tiga tahun dan Puteri Charlotte, setahun, sepanjang lawatan seminggu itu.

Itu adalah kali pertama William dan Kate membawa kedua-dua anak mereka dalam lawatan rasmi ke Kanada.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, pasangan diraja itu dijadualkan menghadiri majlis di badan perundangan British Columbia dengan sambutan penuh ketenteraan, termasuk tembakan hormat 21 das.

Lawatan rasmi terakhir William dan Kate ke Kanada adalah pada 2011.

Mereka dijangka berada di negara itu untuk menghadiri lebih 30 majlis, termasuk pertemuan dengan masyarakat pribumi. Lawatan dijangka berakhir pada 1 Oktober ini. – REUTERS/BH ONLINE