Putera Harry, Meghan Tiba Untuk Lawatan Ke New Zealand

WELLINGTON – Majlis sambutan bertemakan budaya tempatan menggamit kunjungan Putera Harry dan isteri, Meghan ke New Zealand semalam.

Kerabat diraja Britain itu tiba untuk peringkat terakhir lawatan ke rantau Pasifik yang merupakan kunjungan rasmi pertama sejak mereka mendirikan rumah tangga pada Mei lalu.

Pasangan diraja itu yang telah melawat Australia, Fiji dan Tonga, di sambut di sebuah lapangan terbang di Wellington oleh Perdana Menteri, Jacinda Ardern.

Majlis sambutan rasmi itu diadakan di halaman Rumah Kerajaan yang merupakan kediaman rasmi Gabenor Jeneral, Dame Patsy Reddy.

Harry dan Meghan yang memakai gelaran Duchess of Sussex berlaga hidung dengan pemimpin-pemimpin Maori dalam sambutan penuh tradisi. Mereka juga dipersembahkan dengan tarian ‘haka’ iaitu tarian perang puak Maori sebagai penghormatan diikuti oleh 21 das tembakan.

Meghan memakai kot bercorak petak-petak berwarna coklat dipadankan dengan dres hitam, manakala Harry pula menyarung sut berwarna gelap.

Duke dan Duchess of Sussex kemudian mengunjungi Memorial Perang Kebangsaan Pukeahu untuk meletakkan kalungan bunga di Makam Perwira Tidak Bernama dan melawat Memorial United Kingdom.

Orang ramai turut berhimpun untuk melihat cucu Ratu Elizabeth II itu dan isteri­nya. Harry dan Meghan juga sempat meluangkan masa berjabat tangan dengan penduduk tempatan sebelum beredar. – Reuters/KOSMO ONLINE