Putera Arab Saudi Tak Tandatangan Surat Kerana Kebal

KUALA LUMPUR –¬†Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa seorang putera Arab Saudi tidak menandatangani keterangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung surat berkaitan derma kepada Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas faktor kekebalan.

Keterangan SPRM itu dikatakan mengesahkan ketulenan empat dokumen yang dikatakan surat derma daripada Putera Arab Saudi kepada Najib.

Saksi pembelaan, Pegawai SPRM, Fikri Ab Rahim berkata demikian ketika pemeriksaan utama peguambela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Menurut Fikri, dia yang menyertai pasukan SPRM ke Riyadh, Arab Saudi, pada akhir November 2015 itu bagi menjalankan siasatan berhubung dakwaan derma RM2.6 bilion melibatkan Najib.

Fikri: Keterangan yang saya bacakan berkaitan dengan Putera Saud tetapi ditandatangani Abdullah Al-Koman.

Shafee: Kenapa Saud tak turun kan tandatangan?

Fikri: Kerana kekebalan mereka, jadi kami tak boleh terus berhubung dan cuba ambil keterangan mereka.

Terdahulu, sebelum ini pegawai SPRM, Mohd Nasharudin Amir yang juga sebahagian dalam pasukan itu, berkata, Putera Saud Abdul Aziz Malik Abdul Aziz Al-Saud tidak menandatangani keterangan SPRM itu.

Nasharudin berkata, ia sebaliknya ditandatangani peguam yang mewakili putera Arab Saudi itu, Abdul Aziz, Abdullah Al-Koman.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung petang esok.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Latheefa Koya dijangka dipanggil bagi memberi keterangan esok berhubung rakaman audio yang didakwa melibatkan tertuduh dengan beberapa individu berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn. Bhd. membabitkan tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukan berkaitan dana SRC. – Sinar Harian

Loading...