Pusat Urut Tawar Khidmat Seks Sejenis Diserbu

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyerbu sebuah pusat urut lelaki kerana disyaki menawarkan khidmat seks sejenis atau gay di Cheras pada Isnin.

DBKL dalam kenyataan berkata, serbuan itu dijalankan sepasukan anggota Jabatan Penguatkuasaan (JPK) menerusi Operasi Tindakan Khas di premis yang beroperasi tanpa lesen.

“Berdasarkan siasatan dan risikan dijalankan, kami mendapati terdapat aktiviti tidak bermoral iaitu khidmat urutan bagi golongan gay di tingkat dua premis berkenaan membabitkan lapan bilik yang dijadikan tempat urut dan aktiviti seks sejenis.

“Hasil semakan juga mendapati premis terbabit tidak mempunyai lesen yang sah sebagai pusat urut daripada DBKL,” katanya pada Selasa.

Menurutnya, serbuan yang dijalankan terhadap premis itu mendapati seramai lima lelaki warga Vietnam, Syria dan Indonesia bertindak sebagai tukang urut manakala dua lagi lelaki warga Myanmar pula sebagai pelanggan.

Tambahnya, seorang lelaki warga Indonesia yang bekerja sebagai penjaga premis turut ditahan dan diambil keterangan bagi proses dokumentasi.

“Kami mengeluarkan satu notis kompaun di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 3(1), Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016.”

Pada masa sama, premis itu turut ditutup serta-merta selaras dengan Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Selain itu, tindakan sita turut diambil membabitkan 25 pelbagai peralatan premis membabitkan kondom, gel pelincir dan lain-lain barangan,” katanya.

Katanya, operasi seumpama itu akan diteruskan dari masa ke masa dan warga kota diminta terus memberi kerjasama untuk menyalurkan maklumat kepada pihak DBKL. – Sinar Harian