Pusat Perlindungan 30 Pekerja Malaysia Di Singapura Tutup

SINGAPURA – Dewan Sukan Jurong East, SportSG, sebuah pusat perlindungan sementara bagi menempatkan pekerja yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Kerajaan Malaysia, telah menghentikan operasinya sejak semalam.

Menurut Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) republik ini, tempat perlindungan itu yang menyediakan bantuan kepada 30 pekerja dari Malaysia sejak 17 Mac ditutup berikutan jumlah pekerja Malaysia yang rendah, yang memerlukan kemudahan itu.

“Keadaan itu juga berikutan kecenderungan daripada sokongan komuniti untuk menempatkan pekerja berkenaan serta pembabitan Kementerian Sumber Manusia (MOM) dalam membantu majikan bagi mendapatkan tempat tinggal kepada pekerja mereka,” kata MSF dalam laman sesawangnya.

Tempat perlindungan itu ditubuhkan oleh MSF sebagai sebahagian usaha Kerajaan Singapura bagi membantu syarikat tempatan yang mempunyai pekerja yang terjejas dengan PKP.

Dalam tempoh perintah itu, MSF berkata, MOM dan Pasukan Polis Singapura (SPF) juga telah meningkatkan rondaan bagi mencari rakyat Malaysia yang masih tidak mendapat tempat perlindungan sementara.

“Sesiapa yang didapati tidak mempunyai tempat tinggal sementara, MOM akan menghubungi majikan yang berkenaan bagi memastikan mereka menguruskan tempat tinggal kepada pekerja yang terjejas itu dengan segera.

“Banyak bantuan dihulurkan kepada pekerja yang terjejas oleh komuniti berkenaan termasuk rakan komuniti MSF dari PEERS Network dan perlindungan peralihan,” menurut kementerian itu.

Malaysia masih melaksanakan PKP di seluruh negara pada 18 hingga 31 Mac 2020.

Perintah itu dikuatkuasakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 yang merangkumi, antara lain halangan pergerakan sepenuhnya ke atas semua rakyat Malaysia untuk ke luar negara

Sementara itu, kementerian berkenaan berkata, MOM telah mengingatkan majikan mengenai tanggungjawab mereka bagi memastikan pekerja mereka ditempatkan dalam tempat tinggal yang sesuai.

“Majikan yang gagal berbuat demikian akan ditegur dan mungkin dihalang daripada mengambil pekerja asing,” kata kementerian itu lagi.

Pada 17 Mac, Kerajaan Singapura mengumumkan bahawa ia akan menyediakan kepada majikan di republik ini dengan bantuan kewangan S$50 semalam selama 14 malam bagi setiap pekerja yang terjejas dengan perintah itu.

Bagaimanapun, PKP dilihat menjejaskan kedua-dua pemegang pas kerja dan rakyat Singapura sendiri serta penduduk tetap yang berulang-alik setiap hari dari Malaysia.

MSF menjelaskan, mana-mana pekerja Malaysia yang masih tidak mempunyai tempat tinggal sementara perlu menghubungi MOM di mom_qops@mom.gov.sg.

Kementerian berkenaan berkata, orang ramai yang ingin membantu pekerja yang terjejas itu dalam bentuk derma, sukarela untuk menyediakan tempat tinggal kepada mereka, boleh melayari portal SGUnited (www.sgunited.gov.sg) atau Pusat Pekerja Asing (www.mwc.org.sg, 6536-2692).

Loading...