KUALA LUMPUR – Meskipun tidak berlesen dan sering diserbu pihak berkuasa, sebuah pusat hiburan terkemuka di Jalan Sungai Besi, di sini, tetap tidak takut menjalankan kegiatan penyalahgunaan dadah dalam premisnya demi mengaut keuntungan lumayan.

Terbaru, pusat hiburan empat tingkat ini diserbu dua kali dalam tempoh 24 jam oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur dan agensi penguatkuasaan kerajaan, diketuai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada awal pagi Jumaat dan Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, berkata dalam serbuan pada jam 2.30 pagi, Jumaat lalu itu, pihaknya menahan 31 lelaki dan 3 wanita tempatan berusia antara 16 hingga 54 tahun termasuk dua lelaki dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah.

“Dalam operasi itu, kita turut merampas 181 botol air minuman dan 408 paket cecair dan serbuk minuman disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine dan ketamin serta 60 batang rokok mengandungi ganja ‘mushroom’ yang kesemuanya dianggarkan berjumlah RM230,000.

“Kesemua dadah yang kita rampas itu sekiranya berada di pasaran, ia mampu merosakkan lebih 2,500 individu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, 32 individu yang ditahan didapati positif dadah dan ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta direman selama dua hari manakala dua ahli sindiket pengedaran dadah ditahan mengikut Seksyen 39A(2) akta yang sama dan direman selama tujuh hari.

“Dalam operasi yang turut disertai Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) dan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Daerah Dang Wangi itu, polis turut menahan tujuh lelaki warga Bangladesh dan tiga wanita warga Indonesia selepas dikesan tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

“Semua rampasan dadah pula diperoleh hasil daripada pemeriksaan ke atas satu bilik stor khas dan sebuah kenderaan di kawasan tempat letak kereta yang kita percaya dijadikan sebagai tempat penyimpanan dan pengedaran botol serta paket cecair minuman mengandungi dadah,” katanya.

Tambah Mohmad Salleh, secara keseluruhan premis sama sudah lima kali digempur sepanjang tahun ini iaitu pada 25 Januari lalu; 26 Mei; 14 September; 28 September dan 29 September (Ops Bah).

Pada keesokan harinya seramai 16 pengunjung pusat hiburan sama ditahan dalam operasi ‘Banteras Aktiviti Haram’ (Ops BAH) oleh Kementerian Wilayah Persekutuan, yang disertai pelbagai agensi penguatkuasaan kerajaan, selepas didapati positif dadah.

Hasil pemeriksaan mendapati status pusat hiburan berkenaan tidak berlesen dan tindakan menyita barang-barang hiburan dijalankan.

Premis sama diarahkan ditutup mengikut Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 1992.

Sekiranya pusat hiburan sama masih meneruskan kegiatan hiburan, ia berstatus menjalankan operasi secara salah dan haram.

INFO:

Dadah yang dirampas:

– 59 botol minuman ‘Ribena’ disyaki mengandungi dadah methamphetamine

– 122 botol minuman ‘Teh Lemon Ice’ disyaki mengandungi dadah methamphetamine

– 49 paket cecair minuman ‘Energy Potion’ disyaki mengandungi dadah methamphetamine

– 315 paket serbuk minuman ‘Lime Juice’ disyaki mengandungi dadah methamphetamine

– 39 paket serbuk minuman ‘Caution’ disyaki mengandungi dadah methamphetamine

– 5 paket serbuk minuman ‘Mango’ disyaki mengandungi dadah methamphetamine

– 1 paket disyaki mengandungi dadah ketamin dianggarkan seberat 243 gram

– 1 paket disyaki mengandungi dadah methamphetamine seberat 0.84 gram

– 60 barang rokok disyaki mengandungi dadah ganja (Mushroom). – BH Online

Loading...