Pusat Beli-Belah Bukan Punca Jangkitan Covid-19

KUALA LUMPUR – Semua pusat beli-belah bukan punca jangkitan mahupun potensi penyebaran virus Covid-19, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Kenyataan itu merujuk kepada kebimbangan orang ramai terhadap tindakan pembersihan serta disinfeksi yang dijalankan di NuSentral Mall, KL Gateway Mall dan Sunway Pyramid Mall selepas pekerja mereka disahkan positif koronavirus.

“Untuk makluman, semua (atau) sesuatu kawasan dikatakan ada kes selepas siasatan terperinci oleh KKM. Kawasan yang menunjukkan terdapatnya kes setelah (KKM) mengesahkan punca jangkitan atau kebolehjangkitan.

“Oleh itu, kesemua pusat beli-belah bukan merupakan punca jangkitan mahupun ada potensi penyebaran virus Covid-19,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, penghargaan harus diberikan kepada tindakan proaktif pusat beli-belah itu kerana mengambil langkah yang sebahagian daripada kawalan dan pencegahan mengikut prosedur operasi standard (SOP) KKM. 

“Penghargaan juga kepada orang ramai yang telah menggunakan pelbagai fungsi aplikasi MySejahtera dan ternyata masyarakat cakna dengan perkembangan kes Covid-19 di sekitar mereka.

“Kami ingin menasihati orang ramai agar hanya berkongsi maklumat yang terbukti kesahihannya agar tidak menimbulkan panik dalam masyarakat,” katanya. – myMetro Online

Loading...