Pusat Analitik Data Raya Negara Akan Ditubuhkan

PUTRAJAYA – Kerajaan akan menubuhkan Pusat Analitik Data Raya Negara bagi memastikan setiap perancangan dan pembuat keputusan berlandaskan analisis data selaras dengan inisiatif Kerajaan Digital.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata penubuhan pusat yang akan mengukuhkan sistem statistik negara itu adalah dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) serta kementerian berkaitan.

“Sistem statistik negara perlu diperkukuhkan bagi memastikan data yang ada diselaraskan dan dapat digunakan kerajaan dalam merangka dasar atau membuat keputusan.

“Pengukuhan ini akan memberikan impak positif, antaranya menjamin ketersediaan data lebih komprehensif di sektor kerajaan dalam merangka dasar jangka pendek dan jangka panjang negara.

“Ia turut bertujuan meningkatkan kepakaran analitikal berkaitan semua bidang ekonomi, sosial dan demografi dalam kalangan pegawai di semua kementerian serta agensi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Hari Statistik Negara & Sedunia dan Persidangan Statistik Malaysia 2020 yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin; Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour; dan Presiden Institut Statistik Malaysia, Prof Dr Ibrahim Mohamed.

Pada 9 September lalu, jemaah Menteri bersetuju untuk memperkasakan sistem statistik negara apabila Kabinet meluluskan penubuhan Majlis Statistik dan Data Negara (MSDN) sebagai badan penasihat tertinggi yang berperanan memberi hala tuju sistem statistik negara dan penyelarasan maklumat.

Perdana Menteri akan mempengerusikan mesyuarat pertama MSDN yang turut dianggotai oleh beberapa menteri, wakil daripada kerajaan dan swasta.

Kabinet turut bersetuju memberikan peranan yang lebih besar kepada DOSM sebagai agensi pusat dalam penyelarasan sistem statistik negara.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989) juga akan dipinda selaras dengan pengukuhan yang akan dilaksanakan itu sekali gus membolehkan fungsi dan peranan DOSM diperkasakan bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanannya agensi statistik itu.

Kerajaan juga menyedari kepentingan analisis Data Raya dalam sektor awam ke arah penggubalan dasar yang lebih komprehensif dan tepat. 

Beliau menjelaskan, kerajaan menyedari kepentingan data untuk merangka strategi khusus bagi memastikan kehidupan rakyat tidak terjejas dengan lebih teruk terutama ketika krisis COVID-19.

“Data yang ada hari ini milik kementerian dan agensi kerajaan pusat serta negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak diselaraskan, manakala metodologi, piawaian, konsep dan definisi kadang-kadang berbeza.

“Namun, data pentadbiran granular ini menjadi sumber data yang penting bagi kerajaan. Ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada data primer yang dikumpul secara banci.

“Secara tidak langsung penggunaan data sekunder boleh mengurangkan kos dan penjimatan bagi pengumpulan data,” katanya.

Sementara itu, Mustapa berkata, statistik yang disediakan DOSM membantu kerajaan dalam merangka pelbagai perancangan khususnya ketika berhadapan dengan krisis merangkumi Pakej Rangsangan Prihatin Rakyat (PRIHATIN), PRIHATIN Tambahan PKS, Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA) dan Inisiatif Tambahan Khas : Kita Prihatin telah menunjukkan hasil. 

“Kini, data ini juga amat penting untuk Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dalam menyiapkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12),” katanya. – BH Online